5/21/12

Konsep Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah


STRATEGI

a.    Konsep

Melalui hasil dapatan daripada pelbagai sumber tentang konsep strategi pengajaran, sama ada daripada buku rujukan ataupun sumber Internet, terdapat beberapa dapatan mengenai konsep strategi pengajaran yang diperoleh. Antaranya, menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga keluaran 2002, halaman 1305, huraian satu  dan juga huraian 4, mendefinisikan strategi sebagai ilmu tentang cara-cara merancang dan melaksanakan tindak-tanduk peperangan dan juga ilmu siasat perang. Menurut Kamus Dewan lagi, strategi merupakan rancangan yang teratur untuk mencapai matlamat atau kejayaan serta dianggap sebagai dua serampang strategi yang terdiri daripada dua rancangan atau pendekatan yang utama untuk dilaksanakan sekali gus secara bersepadu.

Bersesuaian dengan itu, menurut buku Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran, hasil karya Juriah Long. Strategi menurut Burden dan Byrd (1994, 2003) adalah cara bagaimana isi pengajaran disampaikan oleh guru  kepada muridnya bagi mencapai objektif sesuatu pengajaran. Strategi pengajaran yang digunakan oleh guru dalam proses pembelajaran dan pengajaran (P&P) boleh berpusatkan guru atau berpusatkan murid. Dalam strategi pengajaran berpusatkan guru, peranan guru lebih eksplisit kerana guru bertugas untuk merancang dan menyampaikan pelajaran kepada murid, di samping mengarah dan mengawal murid dalam aktiviti pembelajaran yang dirancang dalam pengajarannya.

Manakala, dalam strategi pengajaran yang berpusatkan murid pula, guru hanya merancang persekitaran pembelajaran yang dapat mendorong murid berfikir serta melibatkan diri secara aktif bagi melaksanakan sesuatu aktiviti pembelajaran yang dirancang oleh guru dalam sesi pengajarannya. Dalam strategi berpusatkan murid juga, guru kurang mengambil peranan kerana guru hanya bertugas sebagai perancang aktiviti pembelajaran, pembimbing serta pemudah cara. Kebebasan diberikan kepada dalam kumpulan kecil bagi mengeluarkan idea dan pendapat mereka tentang isi pengajaran.

Tambahan lagi, menurut Richards (1994) dalam buku Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu, menjelaskan bahawa aktiviti (strategi) merupakan satu gerak kerja atau tugas-tugas yang dipilih dan dirancang untuk dilaksanakan oleh guru dan murid dalam sesuatu pengajaran bagi mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran (P&P). Dalam perancangan persediaan mengajar, guru perlu bermula dengan memikirkan objektif pelajaran dan selanjutnya memilih aktiviti atau gerak kerja yang dapat membantunya mencapai objektif pengajarannya. Dalam masa yang sama, pemilihan aktiviti atau gerak kerja pengajaran di dalam bilik darjah bergantung kepada pemilihan pendekatan guru pengajaran bahasa serta kaedah pengajarannya mana dianggap lebih sesuai untuk membantu pelajar dalam proses pembelajarannya.

   Selanjutnya, menurut laman sesawang (http://felliciakho.blogspot.com/2009/08/definisi-strategi-pendekatan-kaedah-dan.html?zx=c8e9fcc73677ca78) pula, guru memerlukan kemahiran untuk merancang dan menguruskan kaedah dan teknik pengajaran supaya dapat disampaikan kepada murid-murid untuk memperoleh hasil pembelajaran maksimum. Aspek yang perlu diambil kira oleh guru semasa menentukan strategi pengajaran yang sesuai ialah objektif pengajaran, proses pengajaran, isi kandungan, persediaan dan kebolehan mengajar, gaya pengajaran dan persekitaran di dalam bilik darjah.

Menurut laman sesawang tersebut lagi, strategi pengajaran dan pembelajaran (P&P) menegaskan kepandaian memilih, menyusun dan mengurus sesuatu rancangan dengan tujuan menghasilkan pencapaian yang optimum. Strategi pengajaran dan pembelajaran boleh diperhatikan daripada beberapa contoh seperti strategi penggabung jalin kemahiran bahasa. Dalam sesuatu waktu pelajaran juga, strategi pengajaran dan pembelajaran merangkumi pertimbangan-pertimbangan seperti penentuan pendekatan berdasarkan objektif pelajaran, pemilihan kaedah dan teknik mengajar berdasarkan pendekatan yang ditentukan penyusunan kaedah dan teknik mengajar secara sistematik dengan mengikut prinsip dan teori pembelajaran.

Dalam bidang pendidikan pula menurut laman sesawang terrsebut, konsep strategi merujuk kepada kebijaksanaan dan kecekapan seseorang guru untuk memilih pendekatan serta merancang kaedah dan teknik dalam pengajaran dan pembelajaran berdasarkan objektif pelajaran yang telah ditetapkan dalam garis panduan kurikulum. Pendek kata, strategi pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada teknik perancangan kaedah serta teknik mengajar berdasarkan sesuatu pendekatan untuk tujuan mencapai objektif pelajaran dengan berkesan.

Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran pula, menurut lama sesawang (http://nursyuhada-zukafle.blogspot.com/2011/02/nota-strategi-pendekatan-kaedah-teknik.html), strategi merujuk kepada satu set aksi pengajaran yang bertujuan untuk mencapai objektif yang diharapkan. Strategi ini turut merujuk kepada cara-cara bagaimana seorang guru mengendalikan sesuatu aktiviti pembelajaran dengan sistematik dan bukan dengan cara cuba jaya, melainkan penekanan terhadap tindakan-tindakan spesifik yang dilakukan dengan sengaja oleh guru untuk mencapai matlamat-matlamat khusus dalam proses pembelajaran.
           Strategi pengajaran dan pembelajaran turut berkait rapat dengan pendekatan, kaedah dan teknik mengajar. Pendek kata, konsep strategi yang diutarakan oleh Edward M. Anthony merujuk kepada satu perancangan yang berkesan dalam menentukan pendekatan serta memilih dan menyusun kaedah dan teknik mengajar secara logikal dan sistematik untuk mencapai objektif pelajaran yang optimum.   

Selanjutnya, Kemp 1995 menjelaskan bahawa strategi pembelajaran adalah suatu kegiatan pembelajaran yang harus dikerjakan guru dan pelajar agar tujuan pembelajaran dapat dicapai secara efektif dan efisien. Tambahan lagi, Kozma dalam Sanjaya 2007 pula, menjelaskan secara umum bahawa strategi pembelajaran dapat didefinisikan sebagai setiap kegiatan yang dipilih, iaitu yang dapat memberikan bantuan kepada murid-murid supaya tercapainya tujuan sesuatu pembelajaran itu.

            Dalam satu Pembelajaran dan Pengajaran (P&P), strategi pengajaran dan pembelajaran merangkumi pertimbangan-pertimbangan seperti penentuan pendekatan berdasarkan objektif pelajaran, pemilihan kaedah dan teknik mengajar berdasarkan pendekatan yang ditentukan penyusunan kaedah dan teknik mengajar secara sistematik dengan mengikut prinsip dan teori pembelajaran. Selain itu, pertimbangan-pertimbangan lain seperti pengagihan masa untuk setiap langkah mengajar dirancang secara optimum, penggunaan bahan pelajaran mengikut keperluan untuk setiap kaedah dan teknik mengajar dan pengurusan kelas mengikut pendekatan dan strategi yang sesuai dipilih.

            Tambahan lagi, strategi pengajaran dan pembelajaran menitikberatkan kebijaksanaan seseorang guru untuk memilih, menyusun dan mengurus sesuatu rancangan dengan tujuan menghasilkan pencapaian yang optimum. Strategi pengajaran dan pembelajaran boleh diperhatikan daripada beberapa contoh seperti strategi penggabungjalinan kemahiran bahasa.

Dalam konteks Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang lebih spesifik, strategi melibatkan perancangan terperinci seseorang guru untuk melibatkan sumber dan peralatan seperti BBM, iaitu Bahan Bantu Mengajar (BBM), pencahayaan, pengudaraan, keadaan bilik darjah dan tempat melaksanakan P&P, misalnya padang terbuka, makmal dan sebagainya. Strategi sedemikian lebih mengambil kira objektif jangka masa panjang dan segala aspek pembelajaran termasuklah pemilihan bahan, masa dan keadaan bilik darjah.

 Kesimpulannya, strategi lebih merujuk kepada satu perancangan atau satu operasi yang menyeluruh. Perkara ini juga merujuk kepada satu aktiviti pengurusan atau kaedah untuk mencapai sesuatu matlamat dan dianggap sebagai satu urutan peristiwa yang boleh diperluaskan serta mengalami perubahan yang substantif dalam kalangan pelajar dan guru. Tambahan lagi, strategi juga haruslah berdasarkan pertimbangan teori-teori pembelajaran, pendekatan, kaedah dan teknik mengajar. Penentuan dan pelaksanaan strategi yang sesuai akan menghasilkan pencapaian objektif yang berkesan melalui pengajaran dan pembelajaran yang terancang.


  b. Kepentingan



.

Setelah memahami dengan lebih mendalam mengenai konsep strategi pengajaran dalam sesuatu pengajaran dan pembelajaran (P&P), kepentingan strategi pengajaran harus turut dititikberatkan. Salah satu daripada kepentingan strategi pengajaran ialah membantu guru dalam merancang kaedah dan teknik dalam pengajaran dan pembelajaran berdasarkan  objektif-objektif pelajaran yang telah ditentukan.

Seperti yang sedia maklum, sesuatu rancangan pengajaran itu  sangat penting bagi seorang guru kerana ia akan menentukan pencapaian optimum seorang murid di dalam kelas dengan melihat respond yang diberikan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Selain itu, strategi juga penting  dalam  menyusun kaedah dan teknik mengajar secara sistematik dengan mengikut prinsip dan teori pembelajaran yang terdapat dalam sukatan kurikulum. Apabila seorang guru mempunyai strategi pengajaran yang terancang dan sistematik, ia dapat  melaksanakan sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan lancar tanpa ada sebarang masalah kerana persediaan awal yang telah dibuatnya dengan mengatur langkah-langkah pengajaran dengan sistematik dan rapi


 PENDEKATAN

a.    Konsep
           
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, keluaran 2002, muka surat 284 menjelaskan pendekatan sebagai perihal mendekati dan mendekatkan. Selain itu, ia juga melibatkan kaedah, cara atau langkah-langkah yang digunakan untuk memulakan serta melaksanakan sesuatu tugas untuk bagi mengatasi masalah dan lain-lain.

Selanjutnya, menurut buku yang bertajuk Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu, hasil karya Tuan Jah Tuan Yusof PhD, menjelaskan bahawa pendekatan merupakan teori sesuatu mata pelajaran serta ciri-ciri yang diambil kira apabila menentukan sesuatu andaian atau langkah. Sebagai contoh, dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi subjek Sejarah, para pendidik sejarah akan menggunakan pendekatan kronologi, zaman dan pendekatan tema untuk melaksanakan aktiviti P&P.

Bersesuaian dengan itu, menurut buku Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu, hasil karya Juriah Long pula, pendekatan bahasa adalah satu tugas amali yang boleh dilaksanakan melalui dua cara. Cara yang pertama ialah dengan cara mengikuti prosedur yang lengkap dengan tatacara melaksanakannya. Seterusnya, dengan cara menggunakan satu set prinsip bagi melaksanakan tugas tersebut. Namun begitu, cara yang pertama tidak semestinya menjamin kejayaan sesuatu tugas amali kerana panduan yang diberi mungkin tidak dapat dilaksanakan seperti dalam situasi asalnya oleh orang yang belum biasa dengan tugas mengajar. Justeru, seorang guru yang baik seharusnya mempunyai satu set prinsip yang boleh dijadikan panduan bagi melaksanakan tugasnya itu. Pendek kata, guru hendaklah mempunyai teori yang boleh membimbingnya memahami apa itu bahasa dan bagaimana murid belajar bahasa.

Menurut buku tersebut lagi, kelazimannya, prinsip-prinsip umum tentang pengajaran bahasa tidak terbentuk secara sewenang-wenangnya tetapi berasaskan teori ilmu linguistik dan psikologi. Prinsip-prinsip ini menentukan orientasi atau pendekatan pengajaran guru bahasa. Dalam masa yang juga, terdapat beberapa pendekatan sering digunakan, antaranya pendekatan deduktif, induktif, ekletik dan juga komunikatif.

Bagi pendekatan pertama, pendekatan deduktif mengutamakan penguasaan peraturan atau rumus bahasa daripada penggunaan bahasa. Proses pengajaran dimulakan dengan tugas guru untuk menghuraikan peraturan atau rumus bahasa sebelum guru memberi contoh. Sebagai contoh, apabila guru mengajar karangan berformat surat rasmi, guru akan memberi takrif terlebih dahulu sebelum memberi contoh-contoh karangan tersebut.

Selanjutnya, bagi pendekatan induktif atau dikenali sebagai pendekatan jumpaan pula, ia lebih mengutamakan penggunaan bahasa daripada peraturan atau rumus bahasa. Proses pengajaran bagi pendekatan ini akan dimulakan dengan guru memberi contoh aspek bahasa terlebih dahulu sebelum menyimpulkan peraturan atau rumus aspek tatabahasa tersebut. Sebagai contoh, dalam pengajaran karangan berformat surat rasmi, terlebih dahulu guru akan memberi contoh-contoh karangan tersebut sebelum memberikan takrif karangan surat rasmi.
Pendekatan eklektik pula menggabungkan pendekatan deduktif dan induktif bagi menghasilkan satu strategi pengajaran. Sebagai contoh, dalam pengajaran tatabahasa guru akan menerangkan rumus atau peraturan aspek tatabahasa yang diajar serta contoh. Selanjutnya, murid akan diminta memberi contoh lain untuk menjelaskan generalisasi yang dibuat dan kemudian menyimpulkan takrif aspek tatabahasa tersebut.

 Pendekatan yang terakhir ialah pendekatan  komunikatif. Pendekatan ini mengutamakan kecekapan komunikatif yang meliputi kecekapan bahasa kecekapan menggunakan bahasa dalam sesuatu konteks penggunaan bahasa. Pengajaran bahasa mempunyai dua langkah utama, iaitu penglibatan murid dalam aktiviti penggunaan bahasa yang dirancang oleh guru bagi membolehkan murid menggabungkan struktur yang dipilih dalam konteks penggunaannya serta latihan bagi penguasaan struktur bahasa yang tepat dan sesuai dengan sesuatu konteks penggunaan. (jenis-jenis pendekatan ini akan dihuraikan dengan lebih mendalam pada bahagian b untuk topik pendekatan).

           Pendekatan pengajaran merupakan haluan atau aspek yang digunakan untuk mendekati atau memulakan proses pengajaran sesuatu isi pelajaran, sesuatu mata pelajaran atau beberapa mata pelajaran atau sesuatu kemahiran. Pendekatan-pendekatan ini wujud berdasarkan aspek-aspek pengajaran yang kita ingin utamakan atau beri perhatian yang lebih utama. Sebab itu ada kalanya pendekatan menyerupai klasifikasi pengajaran di mana jenis-jenis pendekatan wujud berdasarkan kriteria-kriteria yang gunakan untuk meneliti proses pengajaran. Pendekatan-pendekatan pengajaran boleh digolongkan mengikut cara pengelolaan murid, cara-cara fakta disampaikan, keaktifan pengajaran atau pelajar, pengajaran bahasa dan pengajaran mata pelajaran lain.

Pendekatan pengajaran yang berasaskan pengelolaan murid adalah seperti pendekatan individu, pendekatan pasangan, pendekatan kumpulan, pendekatan kelas, pendekatan kelas bercantum dan sebagainya. Pendekatan yang dimaksudkan di sini tidak menyentuh mengenai kaedah yang boleh digunakan dalam pengajaran. Guru  bebas untuk memilih kaedah yang difikirkan wajar bagi setiap pendekatan tersebut.

Dalam pengajaran bahasa terdapat pula, terdapat pendekatan-pendekatan seperti pendekatan komunikasi, pendekatan situasi, pendekatan psiko-linguistik, pendekatan terjemahan dan pendekatan nahu. Pendekatan-pendekatan ini muncul disebabkan teori-teori pembelajaran yang berbentuk mentalis atau behavouris.

Bersesuaian dengan itu, menurut konsep pendekatan yang terdapat dalam buku yang bertajuk Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah, hasil karya Tuan Jah Tuan Yusof PhD pula, menjelaskan konsep pendekatan merupakan haluan atau aspek yang digunakan untuk mendekati atau memulakan proses pengajaran sesuatu isi pelajaran, sesuatu mata pelajaran atau beberapa mata pelajaran ataupun sesuatu kemahiran. Pendekatan pengajaran boleh digolongkan kepada beberapa aspek, iaitu mengikut pengelolaan murid, cara fakta disampaikan, keaktifan murid dan penguasaan bahasa.

Selanjutnya, menurut buku yang bertajuk Pendekatan, kaedah dan teknik, konsep pendekatan adalah agak global, teoris dan abstrak. Hal ini disebabkan pendekatan boleh bermakna satu pandangan, pendirian, pegangan atau falsafah bagi melihat, memahami dan menyelesaikan sesuatu masalah. Tambahan lagi, dalam bidang pedagogi bahasa menurut buku tersebut, masalah itu biasanya berhubung dengan masalah pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Pendekatan dalam pedagogi bahasa juga, bercorak teoris yang mana teoris merupakan satu andaian, anggapan atau falsafah mengenai sesuatu tugas pengajaran bahasa. Pada kebiasaannya, sesuatu tugas pengajaran itu dibina berdasarkan sesuatu teori bahasa atau kesahihan sesuatu pendekatan. Bahasa juga sukar hendak dinilai melainkan dicuba dan dilaksanakan secara empirikal, iaitu dalam pengajaran bahasa di bilik darjah. 

Di samping itu, menurut laman sesawang (http://nursyuhada-zukafle.blogspot.com/2011/02/nota-strategi-pendekatan-kaedah-teknik.html), konsep pendekatan yang diutarakan oleh Kamaruddin Hj. Husin (1998), menjelaskan pendekatan dalam suatu pengajaran dan pembelajaran adalah satu kumpulan andaian yang saling berkait tentang sesuatu bentuk pengajaran dan pembelajaran. Setiap pendekatan mencerminkan satu pandangan, atau falsafah atau teori. Menurut Edward M. Anthony (1963), pendekatan ialah satu set andaian yang saling berkait dengan proses pengajaran dan pembelajaran serta mempunyai unsur axiomatic.

Dalam masa yang sama, menurut B.Seaton (1982), pembelajaran melalui pendekatan ini disamakan dengan seorang murid yang mengalami proses mental yang mana ia memerhati peristiwa tertentu untuk memperoleh satu kesimpulan. Antara prinsip-prinsip penggunaan pendekatan induktif adalah menggunakan contoh-contoh yang relevan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ini adalah sebagai rujukan kepada murid untuk lebih memahami apa yang cuba disampaikan oleh guru. Setiap guru juga boleh menggunakan gambar, video ataupun hasil karya dalam penyampaian maklumat kepada murid-murid. Murid-murid juga digalakkan mengemukakan contoh-contoh yang diketahui oleh mereka semasa proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) berlaku.

Seterusnya, dalam laman sesawang tersebut juga, Gestalt (2004), mengatakan bahawa, dalam pendekatan, kita mempelajari sesuatu perkara atau sesuatu situasi secara keseluruhan dan kemudiannya mempelajari elemen-elemen perincian situasi itu. Jika kita menerima sebagai satu teori pembelajaran, maka kita boleh dijadikan sebagai satu pendekatan dan pengajaran.

            Konsep lagi pula ada menyatakan bahawa pendekatan merupakan satu penyusunan prosedur yang membezakan pengajaran seseorang guru dengan guru yang lain. Di dalam konteks pendidikan, konsep pendekatan bermakna cara mendekati sesuatu, misalnya objektif pelajaran yang ditentukan untuk pengajaran dan pembelajaran. Dengan kata lain, pendekatan kepada cara bagaimana sesuatu mata pelajaran diajar untuk mencapai objektifnya.

Menurut laman sesawang (http://felliciakho.blogspot.com/2009/08/definisi-strategi-pendekatan-kaedah-dan.html?zx=c8e9fcc73677ca78, Kamarudin Husin (1998), menjelaskan pendekatan ialah satu kumpulan andaian yang saling berkaitan. Perkara ini juga mencerminkan suatu pandangan atau falsafah yang berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Pendekatan ditentukan oleh cara sesuatu kandungan mata pelajaran diolah oleh guru dan juga ditentukan oleh kriteria sejauh mana murid-murid terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajan. Seterusnya, menurut laman sesawang tersebut lagi, Gestalt (2004), mengatakan bahawa, dalam pendekatan, kita mempelajari sesuatu perkara atau sesuatu situasi secara keseluruhan dan kemudiannya mempelajari elemen-elemen perincian situasi itu. Jika kita menerima sebagai satu teori pembelajaran, maka kita boleh dijadikan sebagai satu pendekatan dan pengajaran.

Kesimpulannya, pendekatan adalah cara atau langkah-langkah dan juga satu kumpulan andaian yang berhubungan untuk memperkatakan hakikat bahasa, hakikat pengajaran bahasa dan hakikat pembelajaran bahasa. Pendek kata, pendekatan merupakan sebagai satu kumpulan yang berhubung. Ia memperkatakan tentang hakikat bahasa, hakikat pengajaran bahasa dan hakikat pembelajaran bahasa. Melalui penggabungan ini, maka terjelma lah pendekatan deduktif, pendekatan induktif, pendekatan eklektik dan pendekatan komunikatif dalam pengajaran bahasa.


Pendekatan Deduktif

Menurut laman sesawang (http://nursyuhada-zukafle.blogspot.com/2011/02/nota-strategi-pendekatan-kaedah-teknik.html), Kamarudin Hj. Husin (2002), menjelaskan bahawa pendekatan deduktif bermula daripada sesuatu atau beberapa rumus, prinsip, hukum, teorem atau peraturan diikuti dengan aplikasinya ke atas contoh-contoh yang khusus. Rumus, prinsip atau hukum yang telah dipelajari daripada kaedah deduktif boleh digunakan untuk mendapatkan rumus-rumus, prinsip-prinsip, teorem-teorem atau hukum-hukum yang baru.

        Tambahan lagi, pendekatan deduktif merupakan satu pengajaran yang bermula dari yang umum kepada yang spesifik. Pendekatan ini merujuk kepada satu pembelajaran di mana pelajar bermula dengan hukum yang umum dan digunakan dalam kes-kes tertentu. Strategi Pengajaran ini merupakan kaedah mengajar yang kompleks kerana murid perlu memperoleh kefahaman yang mendalam dan mencukupi serta berupaya memilih rumus, hukum, teorem, peraturan yang telah dipelajari dengan tepat untuk diaplikasikan pada contoh-contoh khusus.

Dalam masa yang sama, pendekatan ini juga mengasaskan pengajaran dan pembelajaran murid kepada hukum-hukum atau tertentu. Pendekatan ini bermula dengan melihat hukum-hukum atau mempelajari peraturan tertentu dan dari sini pembelajaran akan diteruskan dengan menganalisis hukum-hukum melalui contoh atau mengaplikasikan peraturan yang telah diberikan.

Bersesuaian dengan itu, menurut buku yang bertajuk Pendekatan, Kaedah dan Teknik. Pendekatan deduktif merupakan salah satu daripada pendekatan mengajar yang menggunakan proses penaakulan yang tinggi kerana pendekatan ini memberikan penekanan kepada penyampaian hukum-hukum tertentu kepada para pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Selanjutnya, menurut laman sesawang (http://itukamibudakseni.blogspot.com/2010/11/pendekatan-bahasa-melayu.html), pendekatan deduktif merupakan jenis pengajaran yang bermula daripada umum kepada spesifik. Pendekatan ini merujuk kepada satu pembelajaran di mana pelajar bermula dengan hukum yang umum dan digunakan dalam kes-kes tertentu. Strategi Pengajaran Deduktif merupakan kaedah mengajar yang kompleks kerana murid perlu memperoleh kefahaman yang mendalam dan mencukupi serta berupaya memilih rumus, hukum, teorem, peraturan yang telah dipelajari dengan tepat untuk diaplikasikan pada contoh-contoh khusus.

Kesimpulannya, para pelajar akan didedahkan kepada hukum-hukum atau mempelajari peraturan-peraturan tertentu pada peringkat permulaan sesi P&P. Selanjutnya, proses P&P akan diteruskan dengan oleh pelajar untuk menganalisis hukum-hukum tadi melalui contoh-contoh.


Pendekatan Induktif

Menurut buku yang bertajuk Pendekatan, Kaedah dan Teknik, pendekatan induktif adalah satu pendekatan yang menekankan kaedah pencarian atau penemuan (discovery method) yang melibatkan beberapa proses seperti proses memerhati, mengkaji dan menganalisis sesuatu aspek bahasa itu pada awal pembelajaran dan kemudiannya dikaitkan dengan kesimpulan umum daripada data-data yang dipelajarinya. Dalam masa yang sama, guru-guru adalah tidak digalakkan untuk memberi definisi, menerangkan isi atau kandungan keseluruhan pelajaran yang hendak disampaikan, menerangkan peraturan-peraturan ataupun memberitahu objektif-objektif pengajaran pada awal pengajaran. Guru hanya boleh mengemukan soalan-soalan, contoh-contoh, memerhati dan sebagainya. Pada akhir sesi P&P, guru hendaklah membuat satu generalisasi, iaitu kesimpulan umum mengenai sesuatu peristiwa atau topik.

Dalam masa yang sama, menurut buku tersebut lagi, pendekatan induktif merupakan satu kaedah mengajar yang memulakan sesuatu pembelajaran itu dengan melihat pada contoh-contoh. Pendekatan ini juga merupakan salah satu pendekatan yang memerlukan penaakulan yang tinggi kerana para pelajar digalakkan untuk mencari, meneliti dan mempelajari sesuatu pelajaran itu. Para pelajar juga akan mengemukakan satu rumusan hasil daripada kajian-kajian yang dilakukan.

     Dalam pendekatan ini, guru perlu menyediakan alat bantu mengajar yang bersesuaian. Dalam model induktif, guru perlu merancang aktiviti, membuat perlaksanaan dan penilaian sendiri. Mengikut laman webhttp//www.potralpendidikan.com (1998), pendekatan induktif dapat dirumuskan sebagai satu pendekatan di mana guru memberikan contoh-contoh khusus dan murid-murid memerhati, mentafsir dan mengkaji serta generalisasi. Pendekatan ini sesuai untuk pelbagai mata pelajaran seperti Bahasa, Sains dan Matematik.

Kesimpulannya, peringkat-peringkat pendekatan induktif akan dimulakan oleh guru. Guru akan memulakan pengajaran dengan memberikan contoh-contoh yang khusus berdasarkan satu prinsip yang sama. Guru perlu mengenal pasti maklumat pengajaran dan pembelajaran dan menyediakan contoh-contoh yang berkaitan dengan objektif pengajaran dan pembelajaran. Langkah seterusnya, guru perlu memberi contoh-contoh tambahan supaya murid memahami dan melihat persamaan daripada contoh-contoh tersebut. Daripada contoh-contoh tersebut, murid akan membuat satu kesimpulan serta membuat generalisasi mengenai konsep yang diajar oleh guru. Guru akan membuat penyoalan serta membimbing murid dalam mengukuhkan kesimpulan konsep. Murid dibimbing melalui aktiviti penyoalan oleh guru supaya mereka dapat membuat kesimpulan yang tepat.


Pendekatan Eklektik

Menurut laman sesawang (http//www.potralpendidikan.com), perkataan eklektik berasal daripada istilah bahasa Inggeris “elective” yang membawa makna “pemilihan”. Pendekatan Eklektik ini merupakan gabungan pendekatan induktif dan deduktif dan digunakan sebagai strategi untuk mengajar rumus, prinsip, hukum, konsep dan teorem. Pendekatan ini juga amat sesuai digunakan sebagai strategi pengajaran dalam aktiviti kumpulan (aktiviti pengayaan dan pemulihan). Guru boleh menggunakan pendekatan ini dalam strategi berpusatkan bahan (sebagai aktiviti pengayaan).

Tambahan lagi, terdapat beberapa ciri dalam pendekatan ini. Ciri pertama ialah pendekatan ini sesuai untuk murid yang mempunyai pelbagai kecerdasan dan kebolehan. Ciri yang kedua ialah murid-murid dilibatkan secara aktif dalam pembelajaran sama ada dalam tugas menganalisis rumusan atau memberikan contoh. Dalam pendekatan ini lagi, guru-guru akan memberi input terlebih dahulu kerana ini akan memudahkan murid-murid untuk memberi contoh dan membuat rumusan. Guru akan menggunakan kreativiti sendiri dan tidak terikat kepada mana-mana pendekatan (induktif/deduktif) yang khusus. Dalam pengajaran dan pembelajaran, guru akan mengajar mengikut kemampuan dan kebolehan murid. Kebiasaannya, pendekatan ini banyak digunakan dalam pengajaran sains dan matematik. 

Kesimpulannya, pendekatan eklektik menggunakan dua atau lebih kaedah yang menggabungkan segala ciri yang baik daripada pendekatan tersebut dan menggunakannya dalam satu-satu pengajaran dan pembelajaran. Pendekatan eklektik dihasilkan dengan menggunakan gabungan pendekatan indukif dan deduktif. Pendekatan ini sesuai untuk kelas yang mempunyai pelajar pelbagai kebolehan. Ada kala kaedah induktif lebih sesuai digunakan untuk segelintir murid manakala ada pula murid yang akan memahami dengan jelas melalui kaedah deduktif.

Sebagai contoh, guru boleh memulakan P&P dengan memberikan contoh dan diikuti dengan kesimpulan. Selain itu, proses pengajaran dan pembelajaran boleh diakhiri dengan memberikan contoh diikuti dengan generalisasi. Proses ini lebih menyerupai kepada pendekatan induktif. Jika guru memulakan pelajaran dengan memberikan peraturan atau generalisasi diikuti dengan contoh dan kemudian diakhiri dengan penerangan tentang peraturan, maka ianya lebih kepada pendekatan deduktif.


Pendekatan Komunikatif

Bahagian Pendidikan Guru (2004), menunjukkan pendekatan komunikatif mengutamakan kecekapan berkomunikasi. Pengajaran bahasa mestilah merangkumi kecekapan bahasa, yakni penguasaan sistem tatabahasa serta kecekapan berkomunikasi. Kecekapan yang pertama membolehkan seorang murid menguasai struktur bahasa yang tepat bagi menyampaikan mesej kepada khalayaknya. Kecekapan yang kedua membolehkan murid tersebut menggunakan bahasa yang sesuai dengan khalayak yang dihadapinya.

  Pengajaran ini juga dimulakan dengan latihan menggunakan struktur bahasa yang tepat dan sesuai dengan sesuatu aktiviti komunikasi yang dipilih oleh guru. Menurut Ragbir Kaur (1998), pendekatan komunikatif merupakan gabungan pendekatan induktif dan deduktif yang digunakan dalam sesuatu latihan dan murid-murid akan melibatkan diri dalam aktiviti berkomunikasi atau berinteraksi bagi membolehkan mereka menggunakan struktur ayat yang tersusun. Pendekatan pengajaran ini lebih berpusatkan murid.

 Pendekatan komunikatif merupakan pendekatan yang berpusatkan murid iaitu berfokuskan kepada bentuk-bentuk komunikasi seperti meminta maaf, bercerita ataupun melapor. Situasi ini berlaku dalam amalan masyarakat sehari-harian. Melalui pendekatan ini, penekanan tentang penyerapan bentuk gramatikal adalah untuk tujuan komunikasi. Pendekatan ini wujud kerana pendekatan lain lebih mementingkan penguasaan bahasa pada peringkat membina ayat-ayat yang betul secara terperinci yang terkeluar daripada konteks wacana. Hasilnya, pelajar tidak akan menguasai kecekapan berkomunikasi. Penguasaan komunikasi adalah perlu agar pelajar dapat membuat pemilihan struktur ayat yang betul mengikut konteks bahasa.

Prinsip-prinsip pendekatan komunikatif ini juga  berkaitan dengan pengetahuan murid dalam aktiviti yang akan dilakukan. Setiap guru haruslah merancang terlebih dahulu aktiviti agar murid dapat menggunakan bahasa dalam berkomunikasi. Selain itu, pengajaran bahasa dibuat dalam konteks wacana dan guru perlu mengajar bahasa yang melampaui batas ayat agar pelajar dapat berkomunikasi secara berkesan. Pengajaran bahasa lebih mengikut proses komunikasi sebenar iaitu seperti perbualan dalam kehidupan sehari-harian.

Kesimpulannya, pendekatan merupakan haluan atau aspek yang digunakan untuk mendekati atau memulakan proses pengajaran sesuatu isi pelajaran, sesuatu mata pelajaran atau beberapa mata pelajaran atau sesuatu kemahiran. Pendekatan-pendekatan wujud berdasarkan aspek-aspek pengajaran yang kita ingin utamakan atau memberi perhatian yang lebih utama. Pendekatan-pendekatan yang dipilih biasanya berasaskan teori-teori atau generalisasi yang tertentu.


KAEDAH

a.    Konsep
           
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, keluaran 2002, muka surat 557 menjelaskan kaedah sebagai cara atau peraturan untuk membuat sesuatu, terutamanya yang bersistem atau yang biasa. Ia juga berkaitan dengan mengajar cara mengajar berdasarkan prinsip-prinsip tertentu.

Bersesuaian dengan itu, menurut konsep kaedah yang tercatat dalam buku yang bertajuk Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah, hasil karya Tuan Jah Tuan Yusof PhD. Kaedah merupakan satu rancangan menyeluruh untuk menyampaikan bahan-bahan pengajaran secara teratur. Ia juga berdasarkan kepada pendekatan-pendekatan yang dipilih. Kaedah ini juga didefinisikan sebagai cara yang digunakan dalam proses pengajaran bagi mengajar sesuatu kemahiran bahasa di bilik darjah. Pendek kata, kaedah berkaitan dengan suatu kaedah  yang dirancangkan dan dilaksanakan untuk mencapai objektif pengajaran yang berkaitan dengan kemahiran bahasa.

Menurut buku tersebut lagi, kaedah juga merujuk kepada satu set tindakan yang bersiri, perlakuan aktiviti yang berurutan dan berkaitan antara satu sama lain yang dilaksanakan oleh guru untuk mempermudahkan lagi penyampaian P&P, memudahkan pemahaman murid, menarik minat murid untuk belajar dan mencapai objektif  P&P yang dirancangkan. Pendek kata, kaedah ialah cara ataupun urutan dalam membuat sesuatu.

Selanjutnya, menurut buku yang bertajuk Pendekatan, Kaedah dan Teknik pula, kaedah merupakan satu cara atau prosedur yang digunakan oleh guru untuk menjalankan sesuatu tugas pengajaran. Menurut buku ini lagi, bidang pendidikan  bahasa menganggap sesuatu kaedah pengajar itu dirancang dan dijalankan untuk mencapai objektif pengajaran yang berkaitan dengan sesuatu kemahiran atau aspek bahasa. Tambahan lagi, konsep kaedah adalah lebih konkrit kerana merujuk kepada sesuatu cara atau prosedur yang diatur dan dijalankan oleh guru di bilik darjah.

Kebiasaannya, sesuatu kaedah pengajaran dilaksanakan untuk menyokong sesuatu pendekatan pengajaran, sebagaimana juga sesuatu pendekatan pengajaran itu dicipta untuk memperkukuhkan lagi sesuatu teori bahasa.   

Di samping itu, Edward M. Anthony (1963) mendefinisikan kaedah sebagai satu ikhtiar keseluruhan dikehendaki dalam satu set prosedur yang tersusun, berlandaskan kepada sesuatu pendekatan yang dipilih. Huraian ini bermakna kaedah-kaedah yang dipilih untuk proses pengajaran dan pembelajaran harus berlandaskan kepada suatu pendekatan yang berkaitan dengan model, prinsip atau teori pembelajaran.

Konsep kaedah juga dikaitkan dengan cara atau peraturan yang digunakan untuk melaksanakan sesuatu. Berlainan dengan konsep pendekatan, kaedah lebih merujuk kepada satu siri tindakan guru yang sistematik dengan tujuan mencapai objektif pelajaran spesifik dalam jangka pendek. Pendek kata, kaedah mengajar ialah cara mendekati sesuatu objektif pelajaran dengan langkah-langkah penyampaian yang tersusun. Terdapat lima prosedur kaedah, iaitu :
   
Tambahan lagi, menurut Mok Soon Seng (1992) pula, kaedah ialah satu siri tindakan yang sistematik dengan tujuan mencapai objektif pelajaran dalam jangka masa yang pendek.  Kaedah mengajar ialah cara mendekati sesuatu objektif pelajaran dengan langkah penyampaian yang tersusun. Sharifah Alwiah Alsagoff (1986) juga, menjelaskan bahawa kaedah mengajar ialah peredaran ke arah satu tujuan pengajaran yang telah dirancangkan dengan teratur.

Kesimpulannya, kaedah adalah cara mengelola dan menggunakan teknik-teknik pengajaran, isi kandungan, dan bahan bantuan mengajar (BBM) oleh guru supaya objektif sesuatu pelajaran itu tercapai. Kaedah juga adalah satu siri perlakuan aktiviti yang berturutan dan berkait antara satu sama lain dan dilaksanakan oleh guru untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran.


Kaedah Oral-Aural (Dengar Tutur)

Menurut buku yang bertajuk Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah, hasil karya Tuan Jah Tuan Yusof PhD, mendefinisikan kaedah dengar – tutur ini sebagai kaedah yang membolehkan murid-murid memperkembangkan keempat-empat kemahiran bahasa, iaitu kemahiran mendengar dan bertutur, kemahiran membaca serta kemahiran menulis. Selain itu, murid-murid juga dapat mempelajari mengenai kebudayaan asing melalui pengalaman bahasa yang dipelajari. Hal ini disebabkan kaedah ini merupakan kemahiran lisan asas untuk pembelajaran membaca dan menulis.

Tambahan lagi, buku ini juga menjelaskan cara kaedah ini digunakan melalui penggunaan dialog untuk dihafaz dan diikuti seperti ajukan. Latih tubi serta dialog yang dijalankan adalah untuk memberi penekanan kepada penggunaan intonasi yang betul. Perkara yang menjadi objektif bagi kaedah ini ialah sebutan penutur jati bahasa itu.

Alat pandang dengar turut digunakan secara  meluas. Ditambah lagi dengan bahan-bahan untuk aktiviti menyebut dan membaca disusun rapi dan diajarkan secara induktif mengikut pemeringkatan yang teratur. Perbendaharaan kata turut diberikan kepada murid secara beransur-ansur dan juga dipengaruhi oleh kegunaannya. Hal yang demikian akan membantu murid-murid untuk lebih mendalami lagi bahasa dan dapat menyelami penggunaan bahasa dari segi penggunaan kosa kata yang betul. Secara tidak langsung, kaedah ini dapat melatih murid-murid untuk menjadi lebih yakin semasa berada di khalayak ramai.

Setelah murid berjaya untuk menguasai kemahiran membaca, latihan akan diteruskan kepada aktiviti menulis. Pada peringkat permulaan, latihan menulis ini dikawal oleh bahan-bahan yang telah dipelajari dan kemudian  baharullah latihan menulis bebas dibenarkan. Bersesuaian dengan itu, menurut buku Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah, Abdullah Hassan (1976) mengatakan bahawa permulaan latihan menulis itu dikawal melalui bahan-bahan yang dipelajarinya. Setelah itu, baharullah diikuti dengan latihan menulis secara bebas yang diberikan kepada muri-murid.

Sehubungan itu, Kamarudin Hj. Husin (1997) turut menyokong konsep yang diutarakan mengenai kaedah dengar–sebut di atas. Beliau menyatakan kaedah oral-aural atau kaedah dengar-tutur ini menggunakan secara diolag untuk dihafaz dan diikuti secara ajukan. Kedah ini bermula dengan sebutan lisan. Dialog dianggap realistik dan dilatih tubi secara berulang kali. Latih tubi dan dialog dijalankan secara realistik dengan memberi perhatian kepada intonasinya yang betul. Perkara yang menjadi objektif bagi kaedah ini ialah sebutan penutur jati bahasa itu. Bahan pita rakaman boleh digunakan sepenuhnya, lebih-lebih lagi jika gurunya buka penutur jati bahasa yang diajar itu. 

Dalam masa yang sama, menurut Kamarudin Hj. Husin, alat pandang-dengar digunakan dengan luasnya. Latih tubi semuanya dibentuk dalam situasi yang realistik, disertai dengan bahan pandang dengar yang lengkap. Latihan menyebut dan membaca bahan dikawal oleh bahan yang telah disusun rapi. Sistem tatabahasa yang diberi kepada pelajar diperkenalkan secara induktif dan dengan ingatan yang teratur. Perbendaharaan kata misalnya diberi sedikit demi sedikit pada awalnya dan selalunya dalam konteks yang bermakna. Kata-kata yang diberi itu adalah berdasarkan bukan sahaja frekuensi tetapi juga kepada gunanya. Setelah pelajar menguasai bacaan, latihan diteruskan pula kepada aktiviti menulis. Mula-mula latihan menulis dikawal oleh bahan-bahan yang telah diperlajari, dan hanya selepas itu baharulah latihan menulis bebas dibenarkan. 

Seterusnya, berdasarkan laman sesawang (www.potralpendidikan.com), terdapat juga objektif pengajaran dalam kaedah oral-aural ini. Kaedah ini membolehkan pelajar memperkembangkan keempat-empat kemahiran bahasa iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Dalam hal ini, mendengar dan bertutur diberi keutamaan. Kemahiran-kemahiran ini kemudiannya dijadikan sebagai asas pembelajaran bacaan dan tulisan. Kaedah ini juga membolehkan pelajar memahami kebudayaan asing melalui pengalaman dalam bahasa.


Kaedah Bahasa Komuniti

Merujuk laman web (www.potralpendidikan.com), dalam menjalankan kaedah komuniti ini, guru akan bertindak sebagai kaunselor bahasa. Guru akan cuba untuk memahami pelajar melalui “caunsellor emphities”. Berseuaian dengan itu, Kamarudin Hj. Husin (1990) pula, menyatakan dalam pembelajaran bahasa ia adalah dianggap sebagai “social prosess”. Pengajaran pembelajaran bahasa merupakan satu kesinambungan yang bermula pada peringkat pelahiran, peringkat pelajar boleh berdikari, peringkat pelajar boleh ditegur dan dikritik dan peringkat terakhir pelajar menguasai gaya, linguistik mampu berinteraksi dan berkomunikasi menggunakan bahasa gramatis. 

Seterusnya, guru-guru turut digalakkan untuk menggunakan kaedah bahasa komuniti dalam pengajaran dan pembelajaran. Mengikut Jean Piaget (1961) pula, beliau mencadangkan supaya guru boleh menyediakan dan melakukan aktiviti mengikut kaedah bahasa komuniti. Aktiviti disarankan boleh dilakukan seperti perbincangan kumpulan kecil untuk menyediakan bahan perbualan atau cerita ataupun mengadaptasikan bahan sedia ada.

Sebagai contoh, aktiviti seperti berdialog, bercerita atau berlakon ini perlu dirakam dan hasil rakaman tersebut akan didengar semula melalui pita rakaman atau VCR. Guru memberi peluang kepada murid untuk melakukan perbualan bebas dalam masa 3 hingga 5 minit tentang pengalaman pembelajaran yang telah dilalui. Pada akhir aktiviti pembelajaran, guru dan murid dapat membuat rumusan dan memberi aktiviti pengukuhan kepada murid.

Kaedah Kod Kognitif

Kaedah Kod Kognitif juga dikenali sebagai Kaedah Koda Kognitif. Dalam buku yang bertajuk Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah, hasil karya Tuan Jah Tuan Yusof PhD, kaedah ini adalah berasaskan pendapat golongan mentalis yang melihat bahasa sebagai satu kreativiti mental. Dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa, kaedah ini lebih menekankan mengenai bentuk dan makna.

Seseorang murid atau kanak-kanak yang hendak mempelajari sesuatu bahasa seharusnya mengetahui sistem bahasa yang didasarkan hukum-hukum dan norma-norma tertentu dalam ilmu tatabahasa. Dalam masa yang sama, buku ini turut menyelitkan beberapa ciri-ciri penting mengenai kaedah ini, iaitu pemerhatian diberikan ialah kemahiran menulis dan membaca berbanding kemahiran lisan yang kurang diberi perhatian. Pendek kata, penumpuan bermula dari aspek sintaksis, diikuti dengan aspek morfologi dan fonologi.

Seterusnya, ciri yang kedua ialah penggunaan pendekatan deduktif dalam penerapan pembelajaran tatabahasa dan ketiga ialah proses P&P mestilah berupaya menggalakkan murid-murid menggunakan sebanyak mungkin kemampuan kreativiti. Selanjutnya, kaedah ini amat mementingkan makna dan dalam menghuraikan bahasa, kaedah ini menggunakan aplikasi tatabahasa transformasi-generatif.

Ciri yang terakhir ialah kaedah ini juga merupakan satu kaedah tradisional, hal sedemikian menyebabkan  kaedah ini mempunyai kekuatan serta kelemahannya yang tersendiri.

  Bersesuaian dengan itu, menurut J. B. Carroll (1998), kaedah kod kognitif merupakan pembaharuan dan pengubahsuaian terhadap kaedah nahu terjemahan. Manakala, menurut Chomsky (2005) pula, beliau berpendapat bahawa bahasa merupakan sistem rumus-rumus bahasa yang terbentuk melalui bentuk linguistik. Tambahan lagi, pengetahuan bahasa adalah dalam bentuk abstrak dan bersifat sejadi dan sejagat. Seorang kanak-kanak telah dianugerahkan kecekapan semula jadi rumus-rumus bahasa ibundanya dalam jangka masa yang singkat. 

Sehubungan dengan itu, Diller (1971) pula berpendapat bahawa Kaedah Koda Kognitif ini mempunyai andaian terhadap bahasa, iaitu kaedah ini merupakan satu tingkah laku yang ditetapkan dengan peraturan-peraturan. Selain itu, kaedah ini boleh digunakan untuk berfikir dan mempunyai peraturan-peraturan tatabahasa nyata dari segi psikologi. Melalui kaedah ini, manusia mempunyai kecekapan untuk berbahasa.

Di samping itu, kaedah ini juga mempunyai andaian terhadap pembelajaran bahasa, iaitu khusus bahasa kedua. Salah satu andaian ialah kaedah ini merupakan proses menguasai pola-pola fonologi, tatabahasa dan leksikal sesuatu bahasa secara sedar. Kaedah ini juga dapat dilaksanakan melalui pengkajian dan analisis sama seperti pembelajaran ilmu pengetahuan.

Kesimpulannya, kaedah ini memberi gambaran bahawa kaedah ini mengutamakan pengajaran kecekapan bahasa atau rumus-rumus tatabahasa dalam pengajaran bahasa. Ciri-ciri ini adalah sama dengan ciri pengajaran bahasa melalui kaedah nahu terjemahan. Pengajaran unsur-unsur bahasa pula adalah secara deduktif dan huraian tatabahasa dibuat berasaskan ayat pencil an bukan ayat-ayat dalam konteks penggunaan. Pengajaran bahasa pula lebih mengutamakan kecekapan bahasa berbanding kecekapan berbahasa


Kaedah Linguistik

Merujuk buku Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu, hasil karya Tuan Jah Tuan Yusof PhD, kaedah linguistik merupakan salah satu kaedah mengajar bahasa moden secara saintifik melalui pembandingan di antara dua bahasa, iaitu bahasa yang dipelajari dengan bahasa yang telah diketahui oleh murid-murid sana ada bahasa ibunda mereka ataupun bahasa-bahasa asing yang lain.

Pengetahuan mengenai bahasa murid-murid harus tertumpu pada bentuk dan fungsi bahasa itu, di samping aspek-aspek lain seperti bunyi, susuk ayat, makna dan lain-lain. Pendek kata, kaedah ini menekankan pertuturan dan membenarkan penggunaan bahasa yang telah diketahui murid. Merujuk buku tersebut lagi, kaedah linguistik juga lebih mengutamakan bentuk daripada makna.

Bersesuaian dengan itu, terdapat beberapa teori dan teknik menganalisis bahasa yang dirumuskan oleh beberapa ahli bahasa yang diperoleh hasil daripada pemerhatian-pemerhatian mereka terhadap bahasa. Menurut Dr. Raja Mukhtaruddin Raja Mohd. Dain (1970), ilmu linguistik adalah suatu lapangan pengkajian sains mengenai bahasa yang memenuhi syarat-syarat yang diperlukan dalam pengkajian sains-sains yang lain seperti mempunyai bahan tertentu untuk dikaji, disiplin, sikap serta penggunaan metode-metode yang tertentu. 

Sehubungan dengan itu, Ferdinand de Saussure (1913) yang merupakan orang yang pertama menekankan bahawa linguistik bukanlah kumpulan unit-unit yang lintang-pukang susunannya tetapi merupakan unit-unit yang tersusun menurut struktur yang menyatakan hubungan unit-unit itu sendiri. 

Melalui kaedah ini juga, guru memulakan pengajaran dengan mengajar pelajar cara membunyikan perkataan. Menurut Samsuri (1972), beliau menyatakan bunyi-bunyi bahasa itu dipindah melalui udara, mengatur jumlah tenaga gelombang menurut gejala-gejala serta bagaimana sifat-sifat itu berubah dalam proses penghasilannya kepada aspek yang lebih kompleks. Walaupun penghuraian linguistik mengenai bahasa yang sama tidak serupa, namun, ahli bahasa tetap merupakan orang yang berkebolehan untuk menuliskan tatabahasanya dan selok-belok bunyi bahasa.



Kaedah Nahu Terjemah

Merujuk buku yang bertajuk Pendekatan, Kaedah dan Teknik, kaedah nahu terjemah merupakan kaedah terjemahan bahasa asing atau bahasa ibunda yang menjadi asas pengajaran moden semenjak kewujudan bahasa dalam kurikulum. Kaedah ini merupakan satu kesinambungan daripada bahasa yang telah lupus seperti bahasa Latin atau Greek ataupun terhadap bahasa-bahasa klasik seperti bahasa China purba dan bahasa Melayu Klasik.

Kaedah ini juga dikenali sebagai kaedah klasik kerana telah digunakan terlebih awal sebelum munculnya kaedah-kaedah pengajaran yang baharu. Dalam masa yang sama, menurut buku ini lagi, kaedah ini telah mula berkembang sejak tahun 1960-an lagi, apabila ahli linguistik mula mengkaji bahawa bahasa itu adalah satu sistem dan bukan perkataan semata-mata.

Berdasarkan kaedah nahu terjemahan, pelajar-pelajar boleh memahami nahu sesuatu bahasa dan juga melatih pelajar menulis menggunakan bahasa yang betul. Di samping itu, pelajar-pelajar dapat menterjemahkan bahasa asing ke bahasa natif dan sebaliknya. Perkembangan kaedah ini bermula sejak tahun 1960-an apabila ahli linguistik iaitu Laurent Metzger (Kamarudin Hj. Husin, 2004) mula mengkaji bahawa bahasa itu adalah satu sistem dan bukan semata-mata perkataan. 

Apabila guru mempraktikkan kaedah ini kepada murid-murid, guru dapat melengkapkan pelajar dengan perbendaharaan kata yang luas yang dapat digunakan dalam penulisan atau penggunaan bahasa dalam peperiksaan. Selain itu, jika guru menggunakan kaedah ini juga, guru dapat membentuk pelajar-pelajar supaya membaca dan menterjemahkan makna buku-buku yang dibaca ke bahasa ibunda dan membolehkan pelajar menikmati nilai kesusasteraan yang dibaca.

Tambahan lagi, terdapat beberapa teknik pengajaran yang disarankan. Salah satu teknik yang diperkenalkan ialah pelajar-pelajar diperkenalkan kepada undang-undang nahu terdahulu. kemudian, guru akan memberi penerangan kepada pelajar mengenai undang-undang ini dan diikuti dengan memberi contoh kepada mereka.

Mengikut Mok Soon Sang (2004) pula, beliau mengatakan kaedah ini dirancang dengan tujuan memberi kemahiran menulis, dan bukannya kemahiran bertutur. Pendek kata, kaedah ini tidak mementingkan sebutan. Terdapat beberapa tujuan kaedah ini digunakan, iaitu untuk melatih pelajar supaya mengkaji dan menghuraikan bahasa. Unsur-unsur bahasa yang dikaji dalam sesuatu pengajaran bahasa merupakan ayat-ayat yang terpisah daripada konteks penggunaan. Pelajar juga diajar tentang unsur-unsur kekecualian dalam sesuatu bahasa supaya mereka tidak membuat sebarang kesalahan mengenai unsur-unsur tersebut. 


Kaedah Natural

Merujuk buku yang bertajuk Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah, hasil karya Tuan Jah Tuan Yusof PhD, kaedah natural juga dikenali sebagai pendekatan psikologi, fonetik, baharu, terus, analitik dan tiruan. Kaedah natural juga merupakan kaedah yang berasaskan kepada penggunaan bahasa dalam situasi komuniti seperti yang berlaku dalam pendekatan-pendekatan tradisional. Dalam masa yang sama, kaedah ini menekankan rujukan kepada analisis gramatikal, latih tubi gramatikal atau teori tatabahasa tertentu.

Kaedah ini melihat bahasa sebagai satu alat untuk menghubungkan makna dengan mesej kerana penguasaan bahasa hanya akan berlaku apabila orang memahami mesej dalam sasaran yang dituturkan.

Seterusnya, kaedah natural juga melibatkan dua cara yang ketara untuk memperkembangkan keupayaan berbahasa, iaitu pertama penguasaan dan kedua, pembelajaran. Bagi aspek yang pertama, iaitu penguasaan. Penguasaan merupakan cara semula jadi yang terlaksana sama seperti kanak-kanak menguasai bahasa pertama mereka, iaitu melalui cara pemahaman dan penggunaan bahasa untuk tujuan komunikasi yang bermakna.

Manakala, pembelajaran pula melibatkan peraturan-peraturan secara sedar tentang bahasa diperkembangkan dan berkesudahan dengan pengetahuan yang jelas tentang bentuk bahasa dan keupayaan merealisasikan pengetahuan dalam bentuk lisan. Pengajaran formal diperlukan untuk membolehkan pembelajaran berlaku dan pembetulan kesalahan dapat diatasi dengan perkembangan peraturan  yang telah dipelajari.

Bersesuaian dengan itu, Kamarudin Hj. Husin (1997) telah memberi pandangan bahawa kaedah natural merupakan salah satu kaedah yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P). Kaedah natural ini menekankan kepada penggunaan bahasa dalam situasi komunikatif melalui penguasaan berperingkat. 

Selanjutnya, berdasarkan pandangan Mok Soon Sang (2004), dalam bukunya, Pedagogi untuk Pengajaran dan Pembelajaran, beliau ada menyatakan bahawa dalam kaedah ini, terdapat beberapa aspek yang harus dipertimbangkan. Dalam pembelajaran dan pengajaran (P&P), kaedah ini bermula pada tahap mudah dengan bertanya murid tentang apa yang ada di sekitar mereka atau daripada gambar mudah.

Pada peringkat “early productions”, pelajar bertindak balas terhadap soalan pendek, perbualan, memenuhkan tempat kosong, menerangkan grafik mudah seperti peta perjalanan, jadual dan sebagainya. Dalam kelas, guru akan memberi input dan memberi klu supaya pelajar dapat mentafsir input dan guru harus menjadikan suasana kelas konduktif untuk pengajaran. 

Razali Arof (1971) turut menyatakan kaedah natural mengikut proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). kaedah ini bermula dengan total fizikal respons, iaitu gerakan unsur-unsur non-linguistik berpandukan arahan guru ,manakala pelajar-pelajar akan mengikuti arahan guru. Dalam pengajaran pula, guru akan menyediakan bahan audio visual dan pelajar bertutur berdasarkan bahan rangsangan tersebut. Berdasarkan kaedah ini, aktiviti ini boleh dijalankan mengikut berpasangan atau berkumpulan dan guru juga dapat menilai kemahiran mendengar dan bertutur murid serta dapat membuat rumusan pada akhir pengajaran. 



Kaedah Terus

Merujuk buku yang bertajuk Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah, karya Tuan Jah Tuan Yusof PhD, dipercayai kaedah ini mula diperkenalkan oleh Michell West dan Harald Palmaer (1920-1935). Mereka adalah individu yang bertanggungjawab untuk memperkenalkan kaedah ini kepada umum. Kaedah ini dikatakan serupa dengan kaedah tentera sehingga menyebabkan kaedah ini ditolak oleh Michael Fries, iaitu seorang Profesor Linguistik dari Universiti Michigan yang memperkenalkan kaedah Audio-Lingual.

Kaedah ini kadang kala dikenali sebagai “Kaedah Askar”. Hal ini menyebabkan tentera atau pelatih yang dipilih mestilah mempunyai kualiti yang membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa berjalan dengan lancar seperti sikap, dorongan, umur, keupayaan dan motivasi. Kaedah ini juga melibatkan latih tubi secara intensif melalui guru bahasa yang terdiri daripada penutur bahasa ibunda dab ditiru untuk mengajar Pasukan Sukarelawan Amerika untuk mempelajari bahasa asing.

Namun begitu, kaedah ini adalah lebih moden berbanding kaedah terjemahan kerana kaedah ini mengutamakan prinsip-prinsip mengajar daripada ilmu psikologi kanak-kanak. Kaedah ini juga sesuai dan digalakkan untuk digunakan sebagai pengajaran bahasa kedua dan segala pengajaran tidak sekali-kali menggunakan bahasa yang sudah diketahui oleh murid-murid.

Dalam kaedah terus juga, bahasa sasaran digunakan hingga menyebabkan pengajaran perkataan dijalankan dengan menggunakan benda-benda atau objek konkrit, melalui gambar dan sebagainya ataupun melalui perbandingan dan persamaan sekiranya benda itu tidak konkrit. Manakala, pengajaran tatabahasa dilaksanakan melalui tunjuk cara dengan memberikan contoh-contoh yang sesuai dan relevan.

Bersesuaian dengan itu, fakta-fakta yang dirujuk daripada buku yang bertajuk Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu, karya Tuan Jah Tuan Yusof PhD sangat disokong oleh fakta-fakta yang terdapat dalam buku yang bertajuk Pendekatan, Kaedah dan Teknik. Di mana, dalam buku ini, kaedah terus  dipercayai mempunyai objektif untuk membolehkan kanak-kanak menguasai keempat-empat kemahiran secara lebih efektif.

Selain itu, dipercayai juga kanak-kanak dapat mempelajari bahasa dengan cara mendengar pelbagai perbualan dalam bahasa sasaran dan kemudiannya melibatkan diri dalam perbualan tersebut. Dalam masa yang sama, kanak-kanak juga mempelajari bahasa ibunda dengan cara mendengar, meniru serta mengulangi perlakuan bahasa yang didengari oleh mereka. Kaedah tersebut dikenali sebgai kaedah semula jadi.

Manakala, merujuk laman web www.potralpendidikan.com pula, dalam laman ini, kaedah terus dikenali sebagai kaedah tentera kerana digunakan untuk melatih pegawai tentera dan diplomat dalam perang Dunia Kedua dahulu. Tujuan kaedah ini diperkenalkan adalah kerana membolehkan pelajar-pelajar menguasai keempat-empat kemahiran bahasa, iaitu kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Selain itu, tujuan kaedah terus ini diperkenalkan adalah kerana pelajar-pelajar boleh menggunakan bahasa yang dipelajari dalam masyarakat yang berkenaan. 

Kaedah ini juga, terus memberi keutamaan kepada pengajaran yang melibatkan psikologi kanak-kanak. Kaedah ini mempunyai objektif untuk membolehkan kanak-kanak menguasai keempat-empat kemahiran bahasa secara lebih efektif dan membolehkan mereka menggunakan bahasa yang dipelajari dalam masyarakat berkenaan. Kaedah ini sangat sesuai dipraktikkan untuk mempelajari bahasa pertama dan bahasa kedua kerana sifatnya sama dengan cara pelajar menguasai bahasa ibunda atau bahasa natif mereka.

Terdapat beberapa contoh Kaedah Terus yang penting;
1. Menyoal
2. Kuliah/Syarahan
3. Perbincangan
4. Sumbang saran
5. Perbahasan
6. Demonstrasi
7. Projek
8. Kes
9. Penyelesaian masalah
10. Permainan
11. Simulasi


TEKNIK

a.    Konsep

 Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, keluaran 2002, muka surat 1397. Teknik didefinisikan sebagai pengetahuan yang berkaitan dengan pembuatan barang-barang hasil industri. Tambahan lagi, teknik juga berkaitan dengan kaedah mencipta sesuatu hasil seni seperti muzik, karang-mengarang dan sebagainya.

Bersesuaian dengan itu, dalam buku Pendekatan, Kaedah dan Teknik pula, teknik merupakan satu konsep yang paling konkrit kerana teknik boleh wujud dalam bentuk aktiviti, strategi atau langkah pengajaran yang disertai dengan bahan bantu mengajar (BBM) yang dibuat khas untuk sesuatu teknik. Penggunaan teknik dalam P&P dianggap berkesan untuk mencapai sesuatu objektif khusus yang hendak dicapai oleh guru.

Menurut buku tersebut lagi, teknik juga merupakan satu pengendalian terhadap sesuatu organisasi yang benar-benar berlaku dalam bilik darjah untuk mencapai sesuatu objektif yang segera. Tambahan lagi, teknik juga adalah salah satu alat yang digunakan oleh guru bahasa bagi menyampaikan bahan-bahan pengajaran yang dipilih untuk digunakan semasa sesi P&P. Dalam masa yang sama, pemilihan sesuatu teknik untuk mengajar, hendaklah bersesuaian dengan kaedah yang digunakan.

Selanjutnya, menurut buku yang bertajuk Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu, hasil karya Tuan Jah Tuan Yusof PhD pula, teknik didefinisikan sebagai pelaksanaan kaedah dalam bilik darjah. Teknik juga digunakan untuk mencapai sat-satu objektif dalam sesi P&P. tambahan lagi, sebarang bentuk perlakuan yang mengandungi kemahiran dan melibatkan aspek keterampilan turut disebut sebagai teknik mengajar. Justeru, kebanyakan guru menganggap teknik sama dengan kaedah yang pernah dikenali sebagai “kaedah kecil mengajar”.

Manakala, menurut laman sesawang (http://bobezani.tripod.com/teknik.htm), Edward M. Anthony mendefinisikan teknik sebagai satu muslihat atau strategi ataupun taktik yang digunakan oleh guru yang mencapai hasil segera yang maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian bahasa tertentu. Tambahan lagi, Kamaruddin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz dalam bukunya Pengajian Melayu III : Komunikasi Bahasa, mengatakan teknik boleh didefinisikan sebagai pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjah di mana ia digunakan untuk mencapai sesuatu objektif.

Mengikut Azman Wan Chik (1987) pula, teknik itu apa yang dilihat dalam bilik darjah.  Kalau guru mengajar bahasa dengan menggunakan alat-alat komunikasi canggih dalam makmal bahasa, maka itu satu teknik. Pendek kata, teknik ialah kemahiran guru dalam pengelolaan dan pelaksanaan  kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Maka, teknik akan merealisasikan kaedah yang kita pilih untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Kesimpulannya, teknik adalah satu bentuk pelaksanaan aktiviti yang direalisasikan dalam bilik darjah. Teknik diwujudkan bertujuan untuk membolehkan sesuatu objektif itu dicapai dengan segera. Dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P), pelbagai teknik boleh digunakan. Keberkesanannya bergantung kepada sejauh mana guru dapat memberi pemahaman kepada murid-murid serta bergantung kepada guru merancang isi, memilih aktiviti, memilih bahan dan mengenal pasti alat serta contoh-contoh yang digunakan. 


Teknik Bercerita

Teknik bercerita telah menjadi tradisi budaya manusia sejak zaman berzaman lagi, untuk memberi pengajaran, pengetahuan, hiburan dan berkongsi pengalaman. Dalam masyarakat Melayu, tokoh-tokoh seperti Tok Tubang, Awang Batil atau Awang Belanga dan Tok Selampit merupakan penglipur lara yang terkenal dalam tradisi bercerita.

Teknik bercerita bukan suatu teknik yang baru malahan, pernah dilakukan oleh ibu bapa sewaktu menyampaikan suatu pengajaran kepada anak-anak. Teknik ini dapat menarik minat anak-anak. Bersesuaian dengan itu, Jean Piaget (1962), menjelaskan bahawa teknik bercerita juga boleh dilakukan semasa guru-guru menyampaikan pengajaran kepada murid-murid kerana murid akan lebih cepat menumpukan perhatian dan akan menjadikan pengajaran dan pembelajaran berlaku dalam keadaan yang menyeronokkan. Murid-murid khususnya di sekolah rendah amat menggemari cerita.

Walaupun mereka masih kecil, tetapi apa yang diceritakan kepada mereka akan segera difahami dan kadang-kala dapat pula sekali gus memahami maksud cerita tersebut. Oleh hal yang demikian, jika murid-murid diberi peluang belajar dalam suasana yang menyeronokkan, pasti proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih berkesan.

Selain itu, teknik bercerita juga dapat meningkatkan penguasaan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis dalam kalangan pelajar. Walaupun begitu, masih juga terdapat perbezaan di antara teknik bercerita dengan pengajaran cerita. Merujuk pendapat Kamarudin Hj. Husin dan Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (2004), guru mesti inovatif dalam mencari cerita yang sesuai dengan objektif pengajaran dan pembelajaran. Guru mestilah memastikan cerita yang dipilih bersesuaian dengan umur murid-murid dan dapat menarik perhatian dan minat mereka. Guru juga boleh menggunakan bahan-bahan sampingan yang dapat menarik minat murid-murid terhadap cerita yang disampaikan seperti boneka, tali, binatang mainan, kertas dan sebagainya. Pada masa yang sama, guru perlulah mempelbagaikan suara dan nada supaya cerita yang ingin disampaikan kepada murid-murid menjadi lebih menarik.

Dalam teknik bercerita ini, guru hendaklah memastikan pemahaman, perluasan perbendaharaan kata dan tatabahasa dapat disampaikan kepada murid-murid.
Pada pandangan Kamarudin Hj. Husin (1971) pula, kebaikan teknik ini adalah dapat melengkapi murid-murid dengan pelbagai kemahiran dan kecekapan berbahasa terutamanya kecekapan lisan. Teknik ini dapat menggalakkan murid untuk berfikir secara kritis dan kreatif khasnya bila guru menyoal semula mengenai nilai-nilai moral yang terkandung dalam sesebuah cerita.

Kemahiran-kemahiran yang guru perlu guna dalam teknik bercerita ialah kemahiran verbal seperti projeksi suara, penekanan frasa atau bunyi dan penggunaan ayat-ayat yang mudah. Selain itu, guru perlu menggunakan kemahiran nada suara yang sesuai untuk menggambarkan situasi tertentu dan memiliki kebolehan memanipulasi mimik muka untuk menunjukkan emosi yang berlainan.

Kemahiran bukan verbal yang guru perlu kuasai dalam teknik bercerita ialah gerak mata dan mimik muka yang sangat ekspresif. Aktiviti yang paling penting dalam teknik bercerita ialah sesi perbincangan yang menyusul selepas guru habis bercerita.
Dalam proses perbincangan pula, guru mestilah hendaklah menguji tentang kefahaman murid terhadap cerita yang telah disampaikan olehnya. Berdasarkan teknik ini, guru juga dapat membina pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) selepas satu sesi cerita iaitu kefahaman, latihan tatabahasa dan merumuskan isi-isi penting dalam cerita.


Teknik Belakon / Drama

Berlakon atau berdrama ialah satu teknik yang melibatkan pergerakan tubuh badan. Teknik ini merupakan segala bentuk perlakuan yang meliputi segala kegiatan hidup manusia. Pada kebiasaannya, teknik ini dilakukan oleh watak-watak tertentu untuk mencerminkan keadaan sebenar atau meniru cara dan bentuk kegiatan-kegiatan yang berlaku dalam hidup masyarakat. Teknik ini sering digunakan dalam kaedah komunikatif dan kaedah yang berasaskan pendekatan induktif, iaitu kaedah terus, elektif dan audio-lingual.

Mengikut pandangan Mok Soon Sang (1989), tujuan utama teknik drama digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) adalah untuk melatih para pelajar supaya menggunakan unsur bahasa, unsur para linguistik yang berkaitan dengan jeda, nada dan intonasi serta bukan linguistik yang berkaitan dengan mimik muka, gerak tangan, kepala dan lain-lain secara berkesan dalam sesuatu interaksi bahasa atau perbuatan.

Selain ini, teknik berlakon/drama ini dapat mendorong dan merangsang para pelajar untuk menghubungkan perasaannya dengan mata pelajaran yang dipelajarinya apabila disampaikan oleh gurunya. Mengikut Razali Arof (1971), drama juga berperanan sebagai ragam pembelajaran, iaitu sebagai salah satu alat bantu pengajaran dan pembelajaran (P&P). Selain itu, teknik drama juga dapat menimbulkan keseronokan dan keberkesanan pembelajaran kepada pelajar.

Di sekolah, teknik berlakon merupakan salah satu aktiviti yang amat digemari oleh ramai pelajar. Hal ini kerana lakonan yang dijalankan adalah dalam bentuk bermain dan bersuka ria. Mereka (para pelajar) akan diberi peranan untuk berkata-kata secara bebas, melahirkan pandangan dan pendapat, bergaya dan beraksi sesama sendiri, berhibur dengan telatah dan gaya rakan sebaya, melibatkan diri, bekerja bersama-sama dan sebagainya.
Selanjutnya, merujuk pendapat dari Dr. Ragbir Kaur a/p Joginder Singh (2005), terdapat beberapa jenis lakonan yang boleh dijadikan sebahagian daripada pengajaran dan pembelajaran (P&P). Antaranya ialah lakonan bisu, lakonan spontan, dan lakonan skrip.

Lakonan bisu bertujuan untuk melatih para pelajar supaya memahami serta menggambarkan maksud dan perasaan melalui penggunaan unsur-unsur bukan linguistik seperti mimik muka, gerak tangan, kepada badan dana lain-lain. Lakonan spontan pula bertujuan untuk melatih pelajar-pelajar berlakon secara spontan bagi menggambarkan maksud dan perasaan yang ingin disampaikan melalui penggunaan unsur-unsur bahasa dan bukan linguistik yang berkesan.

Selain daripada itu, tujuan lakonan berskrip melalui penggunaan teknik lakonan berskrip atau dialog drama bukanlah membolehkan pelajar-pelajar mementaskan persembahan lakonan tersebut tetapi hanya untuk membolehkan pelajar-pelajar membaca, memahami serta menghayati dan kemudian melakonkan skrip tersebut dengan menggunakan unsur-unsur para linguistik dan bukan linguistik yang betul.

Teknik Menghafaz dan Latih Tubi

Teknik menghafaz dan latih tubi didefinisikan sebagai satu teknik pengajaran yang telah lama digunakan sejak beribu-ribu tahun dahulu lagi. Teknik ini digunakan oleh orang-orang Yahudi untuk mengajar tentang keagamaan dan perkara-perkara yang bersabit dengan Tuhan mereka. Pada masa itu juga, teknik ini digunakan secara amat berkesan sekali. Teknik latih tubi ini menjadi sebahagian daripada aktiviti pengulangan fakta-fakta atau kecekapan yang dipelajari.

Tujuan teknik ini digunakan dalam kelas adalah untuk mencapai tahap penguasaan kemahiran, di samping menjamin pengekalannya. Pada kebiasaannya, teknik ini sesuai digunakan untuk pengajaran bahasa Melayu dan boleh digunakan untuk mencapai sesuatu kemahiran seperti kemahiran menyebut perkataan, ayat-ayat atau mengingat fakta-fakta penting.

Sehubungan dengan itu, menurut Mok Soon Sang (2008), pelajar akan mengalami proses mendengar, melihat, memikirkan maksud perkataan-perkataan serta tugasnya dalam situasi yang penggunaan perkataan-perkataan itu. Dalam pengajaran bahasa dengar dan sebut, (audio-lingual) teknik ini kebiasaannya digunakan dalam pengajaran bahasa kedua.
Teknik menghafaz ini juga, memerlukan 4 langkah berikut, iaitu memikirkan bahan yang dipelajari bermaksud murid diminta menumpukan perhatian atau memberi fokus terhadap isi kandungan yang harus diingat. Langkah yang kedua pula ialah mengulang bahan yang dipelajari, di mana pelajar dilatih secara berulang kali sehingga apa yang dipelajari itu menjadi sebati sehingga pelajar tidak teragak-agak untuk menyebutnya.

Selain itu, murid hendaklah mengucapkan bahan di hadapan guru, iaitu apabila murid membaca dengan kuat di dalam kelas, pelajar atau guru dapat menyemak atau memperbetulkan kesalahan yang mungkin berlaku. Langkah yang terakhir adalah dengan mengingatkan bahan yang dipelajari. Pada peringkat ini, pelajar diminta mengingat secara bersendirian bahan yang telah dipelajari itu supaya menjadi lebih kekal atau lebih diingati oleh pelajar.

 Setiap teknik mempunyai kebaikan dan kelemahannya. Kamarudin Hj Husin (1989) turut memperkukuhkan lagi fakta tersebut. Beliau mengatakan bahawa teknik menghafaz dan latih tubi mempunyai kelemahannya seperti mengehadkan kebebasan berfikir dan menumpukan daya kreativiti murid sahaja. Namun begitu, teknik ini amat berguna dan sesuai untuk isi kandungan pengajaran yang memerlukan ikutan dan ulangan.


Teknik Bermain Bahasa

Teknik permainan bahasa merupakan satu teknik yang menarik dan boleh meninggalkan kesan yang mendalam dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa. Teknik ini ialah satu teknik yang menyeronokkan dan dapat memberi faedah kepada pemainnya dalam berbagai-bagai aspek. Sehubungan dengan itu, Kamarudin Hj. Husin (1997) dalam bukunya Pengajian Melayu 2, beliau mengatakan teknik ini boleh menjadi alat perantaraan untuk mendapat hiburan dan kepuasan bagi memperkukuhkan lagi definisi yang telah diberikan.

 Aktiviti ini amat sesuai dengan naluri pelajar yang sukakan hiburan, cabaran dan kepuasan serta kecerdasan pelbagai yang dimiliki oleh pelajar. Menurut pendapat Kamarudin Hj. Husin (1989) lagi, dalam bukunya, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah dan Model-Model Pengajaran, beliau mengatakan penglibatan dalam permainan telah memberi peluang kepada pelajar memperoleh latihan intensif, pembelajaran bermakna dan sebagai alat diagnostik. Kebanyakan aktiviti yang dijalankan akan menggunakan pelbagai kemahiran berbahasa kepada pelajar seperti kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis.

Permainan bahasa mempunyai hala tuju yang bertepatan dengan kemahuan dalam sistem pendidikan negara dan Falsafah Pendidikan Negara khususnya. Hala tuju ini diinterpretasikan melalui objektif tersirat dalam permainan bahasa tersebut, iaitu merangsang interaksi verbal pelajar, menambah kefasihan dan keyakinan pelajar, menyediakan konteks pembelajaran, bertindak sebagai alat yang dapat mengikis rasa bosan dan bertindak sebagai alat pemulihan, pengukuhan dan penggayaan.

Dalam masa yang sama, permainan bahasa juga haruslah mempunyai tujuan-tujuan tertentu. berdasarkan buku pandangan Kamarudin Hj. Husin lagi, dalam bukunya, Pedagogi Bahasa, beliau mengatakan guru hendaklah bijak memilih jenis permainan supaya pelajar akan segera mendapat faedah daripadanya. Bagi seorang guru, permainan bahasa itu ialah satu kegiatan dan gerak kerja yang menarik yang boleh memikat minat pelajar.

Teknik ini juga merupakan salah satu cara untuk mempelbagaikan teknik pengajaran dan boleh juga digunakan sebagai satu aktiviti pengukuhan. Bagi pelajar pula, aktiviti ini merupakan satu cara pembelajaran yang tidak formal dan menyeronokkan. Aktiviti ini mampu mengekalkan minat pelajar sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) berlaku. Ia juga bukan sahaja bertujuan untuk mengukuhkan pembelajaran melalui aktiviti-aktiviti yang tidak membosankan tetapi, secara tidak langsung turut menerapkan nilai-nilai murni seperti memberi peluang kepada pelajar bertolak ansur, serta mempertingkatkan kerjasama dan penglibatan diri dalam bentuk yang lebih sempurna.

 Menurut pandangan Mok Soon Sang (Jun 2008) pula, pada dasarnya, teknik permainan bahasa diwujudkan untuk mewujudkan satu suasana pembelajaran bahasa yang selesa dan menggembirakan serta membolehkan murid menggunakan bahasa sebagai alat perantaraan semasa bermain serta dapat meneguhkan penggunaan unsur-unsur bahasa tertentu tanpa disedari oleh pelajar. Apabila guru menggunakan teknik ini dalam kelas, guru dapat mewujudkan situasi sosial yang sihat bagi membolehkan pelajar berinteraksi dengan rakan sebaya mereka.

Selain itu, teknik ini juga bertujuan untuk mendorong minat pelajar-pelajar untuk bekerjasama bagi menjayakan sesuatu tugas yang diberi. Melalui teknik permainan bahasa, guru dapat meneguhkan dan memperkembangkan salah satu daripada keempat-empat kemahiran dalam pembelajaran.


Teknik Simulasi

Berdasarkan pendapat Mok Soon Sang (1998), dalam bukunya, Pedagogi untuk Pengajaran dan Pembelajaran, beliau berpendapat bahawa simulasi merupakan satu situasi yang diwujudkan hampir menyerupai keadaan sebenar yang memerlukan pelajar berinteraksi sama sendiri berdasarkan peranan dan tugas masing-masing bagi membuat keputusan menyelesaikan masalah, isu atau sesuatu tugasan semula.

Melalui teknik ini para pelajar dapat menggunakan kemahiran belajar seperti mengumpulkan maklumat, menjalankan temu ramah dengan individu tertentu dan mencatat isi-isi penting. Dalam proses ini, pelajar digalakkan untuk memberi pendapat, cadangan, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah berdasarkan peranan yang dipertanggungjawabkan.

Bersesuaian dengan itu, Kamarudin Hj. Husin (1997), turut menyatakan bahawa teknik simulasi dapat memberi peluang kepada pelajar mengalami sendiri situasi dan masalah sebenar. Seterusnya, melalui teknik ini juga, pelbagai kemahiran dapat digabung jalinkan dan dipertingkatkan terutamanya dalam kemahiran lisan, membaca, dan menulis atau dikenali sebagai empat kemahiran utama.

Apabila guru menggunakan teknik ini, guru dapat mewujudkan pelbagai aktiviti menarik yang menjadi sumber motivasi kepada pelajar untuk meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).


Teknik Bersoal Jawab

Teknik bersoal jawab merupakan teknik yang paling lama dan paling popular digunakan dalam bidang pendidikan. Guru yang memilih untuk menggunakan teknik ini bukan disebabkan mudah dilaksanakan, tetapi juga berupaya mewujudkan interaksi antara guru dengan murid secara berkesan.

Teknik ini dilaksanakan dengan cara guru mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan isi pelajaran dan pelajar dikehendaki memberi tindak balas yang sewajarnya. Soalan-soalan yang dikemukan oleh guru memerlukan pelajar berfikir dan menggunakan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis serta dapat menguji dan menilai pembelajaran yang diberikan oleh guru dalam bilik darjah.

Bersesuaian dengan itu, Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (1989;120), mengatakan bahawa, teknik bersoal jawab ini menjadi alat yang efektif untuk mengesan pemahaman, menggerakkan minda untuk pencernaan idea, konsep falsafah dan sebagainya. Selain, teknik kini menggalakkan kesanggupan melahirkan perasaan dan fikiran, penglibatan dan kepercayaan diri dalam kalangan pelajar. 

Selanjutnya, tujuan utama teknik soal jawab ini adalah untuk mengesan pengetahuan berbahasa murid, menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif, inovatif, logik dan kritis. Guru sering menggunakan teknik ini di dalam kelas kerana dapat mendorong pelajar menyusun dan menghuraikan bahan yang diajar.

Berhubungan dengan itu, Kamarudin Hj. Husin (2004) dalam bukunya, Pedagogi Asas Pendidikan, mengatakan kejayaan menggunakan teknik ini biasanya bergantung kepada kebolehan guru merancang soalan-soalan dan mencetuskan secara spontan soalan-soalan baru ekoran daripada jawapan yang diberi oleh guru. Pemberian soalan yang terancang dan bermutu dapat membantu menajamkan pemikiran pelajar, di samping dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik dan berkesan.