7/8/11

Ciri-ciri Bahasa Melayu

BAHASA SEBAGAI SATU SISTEM
BAHASA SEBAGAI ALAT KOMUNIKASI
BAHASA BERSIFAT BERVARIASI
BAHASA BERSIFAT ARBITRARI
BAHASA SEBAGAI SATU SIMBOL



BAHASA BERSIFAT SEJAGAT



BAHASA BERSIFAT DINAMIS



BAHASA BERSIFAT UNIK
Rajah 2.0.1 Ciri-ciri Bahasa Melayu

CIRI-CIRI BAHASA MELAYU



Bahasa Sebagai Alat Komunikasi
Bahasa yang dijadikan sebagai alat komunikasi boleh berlaku dalam dua cara, iaitu secara lisan ataupun bertulis.



























Komunikasi melalui lisan ialah komunikasi yang meminta penuturnya memainkan peranan yang penting dengan mengujarkan bunyi-bunyi bahasa untuk didengari dan difahami oleh pendengar.

Manakala, komunikasi tulisan pula, meminta agar penulisnya memainkan peranan yang penting dengan mencatat dan menggunakan tanda-tanda yang dapat dilihat ataupun dibaca bagi menyampaikan idea atau perkara yang terkandung dalam fikiran mereka kepada pembaca.

Dalam masa yang sama, penutur dan penulis perlu mempunyai kemahiran tertentu untuk menggunakan bahasa sebagai alat berhubung.

Melalui bahasa sebagai alat komunikasi beberapa beberapa ciri-ciri konteks komunikasi perlu dititikberatkan seperti penutur, pendengar, topic pembicaraan, latar belakang dan tujuan komunikasi.

Ciri konteks yang pertama ialah penutur. Perkara yang terpenting bagi pendengar agar membolehkan mesej dari penutur dapat difahami dengan tepat oleh pendengar ialah mengetahui indentiti dan latar belakang sebenar penutur. 

Sekiranya identiti dan latar belakang penutur kurang jelas, maka ujaran yang diberikan oleh penutur memberikan banyak makna bergantung pada siapa penuturnya. 

Sebagai contoh, ujaran “ada cerita baharu hari ini”, menyebabkan banyak anggapan boleh dibuat dan sekiranya penuturnya adalah wartawan maka pasti mengenai cerita atau gosip artis begitu juga sebaliknya sekiranya dituturkan oleh orang yang berstatus.

Seterusnya, ciri konteks yang kedua ialah pendengar. Pendengar yang berbeza seperti orang yang berbeza status atau mempunyai gelaran membuatkan ujaran yang sama ditafsirkan secara berbeza. Sebagai contoh, ujaran “rajinnya budak ini”, menyebabkan banyak anggapan boleh dibuat dan sekiranya penuturnya adalah guru maka pasti mengenai cerita pelajarnya begitu juga sebaliknya sekiranya dituturkan oleh orang yang berstatus lain.  

Selain itu, ciri konteks yang ketiga ialah latar belakang komunikasi atau perbualan.  Ciri konteks ini melibatkan masa, tempat, situasi dan hubungan antara penutur dan pendengar. Mengetahui latar belakang dan identiti membolehkan makna ujaran dapat difahami dengan lebih tepat.

Ciri konteks yang keempat pula ialah topik pembicaraan. Topik yang dibicarakan juga penting, tambahan lagi sekiranya topik tersebut berada dalam pengetahuan dan pengalaman yang sama antara penutur dengan pendengar memudahkan mereka mencapai matlamat komunikasi dan begitu juga sebaliknya, sekiranya topik yang dibicarakan tidak diketahui oleh pendengar menyebabkan matlamat komunikasi tidak tercapai.

Di samping itu, ciri konteks yang terakhir ialah tujuan komunikasi. Komunikasi yang berlaku disebabkan berbagai-bagai tujuan seperti suasana formal atau tidak formal, temu bual, ucapan atau perbualan biasa. 

Tujuan komunikasi bukan sahaja mengandungi gambaran keseluruhan mengenai sesuatu peristiwa komunikasi seperti peranan penutur dan pendengar  malah secara tidak langsung memberikan maklumat tentang konteks komunikasi itu dan juga berdasarkan nada suara, mimik muka dan gerak badan dapat membantu pendengar memahami maksud sebenar komunikasi tersebut.  
    
 Kemahiran berbahasa diperlukan untuk memperoleh komunikasi dua hala yang berkesan di antara penutur dan pendengar. Bahasa perlulah ditutur oleh penutur dengan jelas melalui sebutan yang betul, kemas, teratur dan berupaya untuk menggunakan intonansi, jeda, tekanan dan gaya yang tepat.

Manakala, pendengar pula perlu mahir dalam memahami, mentafsir isi-isi tersirat percakapan yang didengar, mendengar secara teliti, seterusnya bertindak balas terhadap apa yang didengarinya.

 Selain itu, jarak tempat dan jarak masa turut mempengaruhi untuk memperoleh komunikasi yang berkesan. Jarak tempat membolehkan penutur tidak berhadapan antara antara satu sama lain dengan menggunakan teknologi yang canggih semasa berkomunikasi. 

Begitu juga dengan jarak masa, melalui rakaman pertuturan membolehkan seseorang menyatakan fikiran, kehendak dan pendapat kepada orang lain walaupun jarak kehidupan antara mereka berbeza.


Bahasa Sebagai Satu Sistem
Bahasa mempunyai cara atau kaedah yang tersendiri untuk diujarkan atau dituliskan. Manakala, sistem itu pula bersifat berperaturan. Susunan terdapat dalam tiap-tiap bahasa sama ada dalam bentuk bunyi-bunyi perkataan, susunan perkataan, nahu atau struktur sintaksis.

Dalam bahasa,mematuhi cara dan peraturan dalam sesuatu sistem amat penting kerana tidak semua percantuman unit dan unsur itu dapat dilakukan serta memberikan makna.
           
Perkataan dan kedudukan perkataan dengan perkataan yang lain yang terdapat dalam sesuatu ayat mestilah teratur supaya bahasa dikatakan sebagai satu sistem. Semua bahasa mempunyai sistem bunyi dan lambang. Bentuk dan kedudukan sesuatu perkataan dalam ayat dapat memberikan makna kepada sesuatu bahasa.

Namun demikian, terdapat beberapa bentuk pola yang berbeza antara satu bahasa dengan bahasa yang mengikut setiap bahasa itu sendiri. 

Sebagai contoh, sekiranya pendengar, iaitu rakan kita meminta supaya kita menerangkan struktur bahasa Melayu kepada mereka, kita mungkin tidak dapat menjelaskannya struktur bahasa Melayu tersebut secara terperinci, tetapi dalam masa yang sama kita tahu tentang struktur bahasa itu dan dapat bertutur dengan mematuhi peraturan dan struktur bahasa itu secara automatik. 

Malah, sekiranya terdapat perkataan yang janggal atau salah digunakan oleh rakan kita yang lain, kita dapat mengesannya dengan cepat.

Kesimpulannya, bahasa itu bersistem dan apabila bertutur,secara tidak langsung kita mematuhi sistem tersebut serta menyusun struktur yang betul dan bahasa yang kita gunakan untuk membolehkan pendengar memahami mesej yang hendak disampaikan.   





Bahasa Sebagai Satu Simbol

 Pada zaman awal, gambar dan objek digunakan sebagai satu simbol untuk menerangkan sesuatu keadaan atau situasi oleh manusia. Kemudian, manusia manusia beralih dengan menggunakan kombinasi bunyi sebagai simbol.

Bunyi disusun secara berurutan dan bersistematik untuk menghasilkan perkataan yang seterusnya digunakan sebagai satu simbol untuk semua perkara yang dilakukan dan difikirkan oleh manusia.

Sebagai contoh , simbol > dikatakan sebagai simbol “lebih besar daripada” oleh sebilangan masyarakat dan ada juga orang yang beranggapan bahawa tanda itu sebagai simbol “arah” oleh sebilangan masyarakat yang lain pula.  Walau apa pun nama yang diberikan kepada simbol tersebut, tentunya mempunyai makna dan fungsi tertentu menurut persetujuan bersama pengguna bahasa tersebut
           
Bahasa juga boleh dikatakan sebagai ‘simbol’ isyarat bersuara yang dihantar oleh penutur kepada pendengar dalam proses interaksi yang merujuk kepada perkataan-perkataan atau ungkapan-ungkapan yang membentuk simbol itu sendiri.

 Di Malaysia, bahasa Melayu dikatakan sebagai “bahasa ilmu”. Frasa ini bermaksud bahawa bahasa Melayu dipilih menjadi pengantara untuk menyampaikan ilmu pengetahuan sehingga ke peringkat  tinggi.Oleh itu, bahasa Melayu dikatakan sebagai simbol bahasa ilmu kerana bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa perantaraan untuk menyampaikan ilmu oleh sebilangan masyarakat di dunia ini.

Bahasa Bersifat Unik

 Bahasa dikatakan bersifat unik kerana setiap bahasa mempunyai struktur dan bentuk yang tertentu seperti susunan huruf yang membentuk perkataan dan golongan kata seperti kata nama dan kata kerja.

Sebagai contoh, dalam bahasa Melayu, perkataan makan dan memakan mempunyai maksud yang berbeza kerana penambahan imbuhan. Begitu juga dalam bahasa Inggeris, perkataan it dan it’s mempunyai maksud yang berbeza antara satu sama lain. 

 Huraian bagi semua bahasa berbeza walaupun semuanya mempunyai bentuk dan struktur mengikut tatabahasa tersendiri. Kesimpulannya, satu tatabahasa yang sejagat tidak dapat diwujudkan untuk bahasa yang berbeza.

 Melalui cara kita memperoleh bahasa itu sendiri juga dikaitkan dengan bahasa bersifat unik kerana bahasa bukanlah sesuatu yang kita warisi seperti kita mewarisi genetik ibu bapa kita seperti jenis darah, warna kulit, mata, rambut, DNA, bentuk badan dan sebagainya.

 Untuk memperoleh bahasa, kita perlu pelajarinya. Secara tidak langsung, kita mempelajari bahasa melalui orang yang terdekat seperti ibu bapa, ahli keluarga dan masyarakat di sekeliling. Sebagai contoh, seorang bayi berbangsa Tagalog dari Filipina yang sejak kecil dipelihara dan dijaga serta dibesarkan oleh keluarga berbangsa Melayu. Maka bayi tersebut akan memperoleh bahasa Melayu dan bukannya bahasa Tagalog. 

 Perbandingan antara bahasa manusia dan bahasa haiwan turut menjadikan bahasa bersifat unik.

Perbandingan yang paling ketara ialah dari aspek lisan dengaran. Manusia menggunakan bahasa untuk berhubung dan bunyi bahasa tersebut dihasilkan antara mulut dan telinga. Manakala, sistem komunikasi  haiwan pula terhad jumlah mesej yang boleh diterima kerana hanya ada beberapa bunyi yang hampir seragam.

Selain itu, dari aspek penyebaran dan saluran manusia serta haiwan juga berbeza kerana manusia menghasilkan bahasa melalui pertuturan dan diterima oleh pendengaran melalui alat pendengaran lantas maklumat itu dapat disebarkan manakala haiwan pula tidak berupaya menggunakan sistem sedemikian kerana haiwan tidak menyebarkan maklumat.

Dari aspek pendengaran yang berterusan pula, manusia berupaya untuk mendengar apa-apa sahaja bunyi secara berterusan tanpa halangan manakala haiwan hanya mengeluarkan bunyi isyarat yang berterusan tapi tidak semestinya haiwan lain memberikan respon terhadapnya.

Seterusnya, aspek peranan bersilih ganti. Manusia boleh menggunakan bahasa sebagai penutur dan pendengar serta dapat memahami apa yang dituturkan dan apa yang didengarinya dalam satu masa yang sama. 

Sebaliknya, haiwan pula tidak mempunyai peranan dan bahasa yang digunakan berbeza antara satu sama lain walaupun spesies yang sama. Sebagai contoh, ayam jantan dan bertina  menggunakan bahasa yang berbeza antara satu sama lain walaupun spesies yang sama, iaitu ayam jantan berkokok dan ayam betina pula berketak.
  
Aspek yang selanjutnya ialah aspek maklumat balik. Manusia berkebolehan untuk menganalisis semula apa yang didengar dan apa yang dibaca pada suatu masa yang sama atau masa yang lain manakala proses maklumat balik tidak dijalankan oleh haiwan. Sebagai contoh, monyet menjerit-jerit menandakan kesakitan yang dialaminya, namun jeritannya tidak semestinya difahami oleh rakan-rakannya supaya datang membantunya.

Selanjutnya, aspek pengkhususan. Manusia mempunyai bunyi-bunyi ujaran yang dituturkan khusus untuk sesuatu tujuan. Sebagai contoh, jika mereka cuba menegaskan sesuatu fakta, mereka akan menggunakan nada intonansi yang menggambarkan penegasan mereka itu. Sebaliknya, haiwan mempunyai bunyi ujaran untuk satu tujuan sahaja, iaitu untuk keperluan biologi semata-mata.

Aspek semantik turut tersenarai dalam perbandingan ini. Makna yang terkandung dalam bunyi-bunyi ujaran yang dihasilkan oleh manusia mengikut konteks dan situasi sebenar dan tidak seperti buyi yang dihasilkan oleh haiwan. Misalnya, ayam jantan boleh berkokok pada bila-bila masa tanpa ada kaitan antara bunyi dengan konteks bunyi itu dihasilkan.

Merujuk aspek yang terakhir pula ialah arbitrari. Ujaran manusia merupakan hubungan antara tanda dengan benda bersifat arbitrari. Bentuk perkataan boleh berubah bagi merujuk kepada benda yang sama. Sebaliknya, bentuk bahasa haiwan tidak bersifat arbitrari. Misalnya, bunyi rusa jantan memanggil rusa betina adalah seragam dan wujud sejak lahir.

  Merujuk kepada beberapa perbandingan bahasa manusia dan haiwan, jelaslah bahasa manusia bersifat unik kerana mempunyai perbezaan yang besar dengan bahasa haiwan.

Bahasa Bersifat Dinamis
 
 Bahasa dikatakan bersifat dinamis kerana berpotensi untuk berkembang, membuat penyesuaian serta menerbitkan pembaharuan dan kemajuan.

Hal ini akan terus berlaku selagi penuturnya terus bergaul dan berinteraksi dengan masyarakat yang lain. Pertembungan budaya dan manusia dengan manusia yang lain menyebabkan pertambahan perbendaharaan kata sesuatu bahasa itu, namun struktur dan tatabahasa sesuatu bahasa itu lazimnya tidak akan berubah.

Bahasa Bersifat  Sejagat

Bahasa bersifat sejagat kerana bahasa itu boleh dituturkan dan dipelajari oleh sesiapa sahaja. Tidak terdapat sebarang peraturan yang melarang individu untuk mempelajari mana-mana bahasa yang dituturkan di dunia ini.

Selain itu, bahasa berpotensi untuk berbeza dan beraneka kerana bukan hanya terdapat satu bentuk bahasa sahaja di dunia. Namun, terdapat dua bentuk  keuniversalan sifat bahasa yang terdapat di dunia, iaitu bunyi bahasa dan makna.

Bentuk yang pertama ialah bunyi bahasa merangkumi semua bahasa di dunia kerana semua bahasa di dunia mempunyai bunyi-bunyi bahasa yang tersendiri. Semua bunyi-bunyi bahasa dihasilkan oleh alat-alat artikulasi manusia seperti rongga mulut, hidung, paru-paru, anak tekak, pita suara, lidah, lelangit dan alat-alat artikulasi manusia yang lain. Bunyi bahasa itu dihasilkan satu demi satu, iaitu melalui pergerakan alat-alat sebutan. Sebagai contoh, apabila menyebut perkataan [ceria], bunyi pertama yang dihasilkan ialah bunyi [c] diikuti dengan bunyi [e], [r], [i] dan [a].


Manusia belajar untuk menggabungkan bunyi-bunyi bahasa secara sistematik untuk menjadi perkataan untuk menghasilkan sesuatu mesej kepada para pendengar. Namun demikian, bunyi-bunyi bahasa ini berbeza  antara satu sama lain. Bagi seorang penutur dan pendengar natif sesuatu bahasa, mereka dengan mudah dapat mengenali, sama ada bunyi bahasa itu daripada bahasanya sendiri ataupun bahasa yang lain.

 Bentuk yang kedua ialah makna. Makna terhasil daripada  bunyi bahasa, struktur isyarat, ayat-ayat dan gabungan perkataan dalam ayat. Terdapat perkataan yang membawa makna konkrit atau tersurat dan abstrak atau yang tersirat. Tersurat dan tersirat ialah dua aras makna bagi setiap bahasa.

Bahasa Bersifat Arbitrari

 Bererti tidak semestinya terdapat hubungan antara bunyi-bunyi bahasa yang dilafazkan dengan benda-benda yang dimaksudkan. Hal demikian menyebabkan bahasa-bahasa di dunia mempunyai perkataan yang berlainan bagi merujuk benda yang sama.

Sebagai contoh, apabila ditunjukkan gambar seekor ayam, kita akan menyebut ,perkataan [ayam] untuk menamakan binatang tersebut. Sebaliknya, dalam bahasa Inggeris ia disebut chicken dan begitu juga dengan bahasa yang lain, menggunakan perkataan yang berbeza untuk merujuk benda yang sama. Hal ini menunjukkan tiada bahasa yang tetap bagi merujuk sesuatu benda kerana perbezaan budaya.

 Makna bahasa juga bersifat arbitrari kerana maksud bunyi itu mempunyai makna yang ditentukan oleh penggunaan bahasa itu sendiri. Sebagai contoh, apabila kita mendengar bunyi kring…kring…kring…, kita tahu bahawa bunyi itu ada kaitannya dengan bunyi, sama ada nada pangilan telefon, loceng pintu atau bunyi alat muzik. Kita juga tahu bahawa seseorang itu telah membunyikan bunyi itu dan bunyi itu dibunyikan untuk tujuan tertentu.

 Bahasa bersifat arbitrari kerana merupakan sesuatu yang abstrak kerana simbol bahasa mempunyai bentuk yang dapat dilihat tetapi maknanya sukar dikenal pasti hanya dengan melihat bentuk simbol tersebut.

Bahasa Bersifat Bervariasi

 Ini kerana terdapat kepelbagaian bagi satu-satu bahasa itu. Hal ini boleh melibatkan cara dan gaya mengajarnya, istilah-istilah khusus yang digunakan dan struktur sintaksis bagi sesuatu variasi bahasa itu. Ini juga bermaksud bahasa itu mempunyai pelbagai dialek yang diujarkan oleh satu-satu kumpulan penutur dan laras bahasa yang digunakan dalam satu-satu bidang ilmu.

Terdapat beberapa pandangan lain yang diketengahkan oleh ahli-ahli bahasa tentang ciri-ciri bahasa. Antaranya, Anderson (1972), menyenaraikan lapan ciri yang berkaitan sifat bahasa yang dianggap universal bagi semua bahasa di dunia ini, iaitu:

(a)  Bahasa merupakan satu sistem.
(b)  Bahasa terdiri daripada vokal dan bunyi-bunyi ujaran.
(c)  Bahasa terdiri daripada lambang-lambang yang arbitrari.
(d)  Bahasa terbinan daripada kebiasaan.
(e)  Bahasa merupakan alat perhubungan.
(f)   Bahasa berhubung erat dengan budaya tempat bahasa itu dituturkan.
(g)  Bahasa sentiasa berubah-ubah.
(h)  Bahasa mempunyai sifat-sifat khas dan unik.


Brown (1980), juga sependapat dengan Anderson yang mengatakan bahawa bahasa bersifat universal. Beliau telah merumuskan enam ciri umum bahasa seperti yang berikut:

(a)  Bahasa merupakan satu sistem yang sistematik.
(b)  Bahasa merupakan sekumpulan lambang yang sewenang-wenangnya.
(c)  Lambang bahasa boleh bersifat bunyi, visual atau grafik.
(d)  Lambang bahasa mengandungi makna kebiasaan.
(e)  Bahasa bersifat kemanusiaan, iaitu dimiliki oleh semua orang atau bangsa serta diperoleh dengan cara yang hampir sama.

Seterusnya, Charles F. Hockett (1960), menyenaraikan beberapa ciri bahasa secara lebih terperinci seperti yang berikut sebilangan daripada cirri-ciri tersebut:

Ciri pertama ialah saluran lisan pendengaran kerana bahasa yang diujarkan oleh manusia terhasil daripada bunyi-bunyi bahasa secara berurutan dan berbeza dengan saluran komunikasi yang lain seperti visual, sentuhan dan bau.

Ciri yang kedua ialah sistem penghantaran kerana setiap orang boleh mendengar isyarat melalui telinga dan sumber datangnya bunyi isyarat itu boleh dikenal pasti melalui keupayaan sistem pendengaran telinga manusia mengenalpasti arah datangnya bunyi isyarat tersebut.

Ciri yang terakhir ialah boleh dipelajari kerana penutur sesuatu bahasa boleh mempelajari bahasa yang lain tanpa halangan walaupun bahasa itu bukan bahasa ibundanya.