7/8/11

Laras bahasa dapat dimaksudkan dengan gaya atau cara penggunaan sesuatu bahasa. Sesuatu laras bahasa bermaksud variasi bahasa yang boleh dipilih daripada sekumpulan variasi bahasa ataupun jenis bahasa yang ada pada tiap-tiap pengguna bahasa. Sebagai contoh, jenis bahasa yang kita gunakan untuk bertutur berbeza mengikut golongan orang tersebut, misalnya bahasa yang kita gunakan untuk berbicara dengan penjual ikan berbeza dengan cara kita berbicara dengan ahli politik.

Selain itu, laras bahasa juga merupakan satu konvensi sosial yang bermaksud sesuatu laras tertentu digunakan untuk keadaan atau situasi tertentu. Dalam hal ini, seseorang individu hendaklah menggunakan laras-laras bahasa yang berbeza-beza bagi setiap situasi yang berlainan tetapi hendaklah mengikut kesesuaiannya.

Selanjutnya, pilihan laras juga amat luas. Jumlah laras bahasa seseorang itu  menggambarkan keseluruhan pengalaman bahasanya dan peranan yang dimainkan oleh individu tersebut dalam masyarakat, iaitu semakin besar jumlah peranannya, maka semakin besarlah jumlah bahasa yang digunakan.

Dalam masa yang sama, gambaran pengalaman bahasa sesuatu masyarakat dapat ditunjukkan dengan jumlah laras yang wujud pada masyarakat tersebut. Hal ini kerana kemunculan laras-laras bahasa selari dengan kewujudan situasi-situasi penggunaan bahasa.

Laras juga berubah selaras dengan perubahan-perubahan dalam masyarakat seperti teknologi baharu, alat-alat baharu dan bentuk-bentuk politik baharu akan mewujudkan  unsur pembaharuan, iaitu gaya pembincaraan dan pengungkapan yang baharu, yakni laras bahasa baharu.

Menurut Ure dan Ellis(1977), menyatakan yang laras ini merupakan ‘jenis-jenis bahasa yang digunakan mengikut situasi-situasi yang berlainan’.Manakala pula, mengikut Ferguson(1968) mengatakan bahawa salah satu ukuran bagi menentukan taraf kemajuan ialah menerusi jumlah laras yang wujud dalam bahasa berkenaan.

Selanjutnya, menurut Halliday(1968) juga,laras bahasa didefinisikan sebagai variasi bahasa yang berubah-ubah berdasarkan fungsi. Menurutnya lagi, laras berubah-ubah mengikut situasi. Apabila kita mengamati perlakuan bahasa yang wujud dalam berbagai-bagai konteks, kita akan dapati kelainan dan jenis-jenis bahasa yang digunakan disesuaikan dengan situasi yang berlainan.

           Menurut Halliday(1968) pula, laras dapat ditakrifkan sebagai variasi bahasa yang berbeza berdasarkan fungsi dan bersifat boleh berubah-ubah. Manakala, menurut Profesor Asmah Hj. Omar pula mengatakan bahawa laras bahasa ialah khusus dalam penggunaan bahasa menurut bidang penggunaannya.


A.CIRI-CIRI LARAS BAHASA

      Laras bahasa yang berlainan ditentukan oleh dua faktor,iaitu ciri-ciri keperihalan sesuatu peristiwa bahasa dan ciri-ciri linguistik. 

Ciri-ciri yang terdapat dalam faktor keperihalan sesuatu peristiwa.


        Salah satu, ciri yang terdapat dalam faktor ini adalah situasi luaran yang merupakan latar belakang sosial dan kebudayaan sesuatu masyarakat bahasa. Ciri ini meliputi luas meliputi, antara lain, struktur sosial dan keseluruhan cara hidup yang menentukan perlakuan anggota masyarakat. 

     Sebagai contoh, situasi istana dan sastera lisan digunakan untuk menghuraikan bahasa Melayu lama. Dalam masa yang sama, penggunaan laras rasmi harus digunakan semasa berada dalam situasi yang formal.   

       Selain itu, ciri yang kedua ialah situasi persekitaran. Dalam ciri ini, aspek-aspek  terlibat secara langsung dalam penggunaan bahasa. Aspek-aspek ini dapat menghasilkan laras-laras yang berbeza. Terdapat empat faktor utama situasi persekitaran, iaitu cara penyampaian, hubungan sosial dan peribadi antara pengguna  bahasa, bahan yang diperkatakan serta fungsi-fungsi sosial perlakuan bahasa.

       Faktor pertama ialah cara penyampaian. Faktor ini merujuk kepada bentuk perhubungan yang digunakan, termasuklah jenis bahasa yang digunakan sebagai contoh, lisan, bertulis, bahasa isyarat dan sebagainya.

        Seterusnya, hubungan sosial dan peribadi antara pengguna bahasa. Terdapat dua aspek yang berkaitan dengan ciri ini. Ciri pertama ialah hubungan yang bersifat peribadi, iaitu antara individu dengan individu lain sebagai salah satu anggota dalam masyarakat. Manakala, ciri yang kedua pula ialah  tidak bersifat peribadi, iaitu hubungan yang jauh jaraknya dan bersifat formal.


        Selain itu, sifat yang ketiga pula ialah bahan yang diperkatakan. Hal ini menjelaskan isi dan kandungan turut membantu dalam menentukan jenis atau laras bahasa  yang digunakan.

     Sifat yang terakhir pula ialah fungsi-fungsi sosial perlakuan bahasa yang menjelaskan bahawa bahasa adalah bahagian utama daripada perlakuan sosial. Dalam masa yang sama, bahasa juga digunakan dalam upacara dan acara masyarakat. Namun terdapat perbezaan dalam bentuk bahasa yang digunakan.
 

Ciri-ciri yang terdapat dalam faktor linguistik.

            Faktor ciri-ciri linguistik merujuk kepada aspek bunyi, aspek perkataan yang digunakan dan aspek  ayat.

         Sifat pertama yang terdapat dalam ciri-ciri linguistik ialah aspek bunyi. Dalam sifat ini, nada suara digunakan untuk membezakan satu laras daripada laras-laras  lain. Dalam kata lain, dalam mengungkapkan bahasa secara lisan, terdapat pelbagai cara bergantung pada apa yang diperkatakan oleh siapa, di mana dan kepada siapa.

          Selain itu, sifat linguistik yang kedua ialah aspek perkataan. Dalam sifat ini, perkataan dapat membezakan laras yang digunakan dengan mudah. Terdapat dua jenis perkataan yang biasanya digunakan dalam aspek perkataan ini, iaitu unsur kolokasi dan perkataan pinjaman.

         Unsur pertama ialah unsur  kolokasi, iaitu merujuk kepada dua perkataan atau lebih dan masing-masing merupakan perkataannya  sendiri tetapi dikaitkan antara satu sama lain. Sebagai contoh, cincin dan permata merupakan perkataan yang saling berkolokasi antara satu sama lain.

          Seterusnya, unsur yang kedua ialah perkataan pinjaman. Melalui penggunaan perkataan pinjaman juga, laras-laras dapat dikenali. Penggunaan perkataan pinjaman banyak digunakan dalam ilmu-ilmu moden pada masa kini seperti laras fizik yang meminjam perkataan daripada bahasa Yunani.        

      Selanjutnya, ciri-ciri linguistik melibatkan aspek ayat. Aspek ayat yang digunakan untuk membezakan laras-laras dalam bahasa meliputi aspek  binaan ayat, susunan ayat dan panjang pendek sesuatu ayat yang digunakan

         Dari aspek binaan ayat pula, meliputi ayat aktif dan ayat pasif. Manakala dari segi makna, tidak terdapat sebarang  perbezaan yang besar antara ayat aktif dan ayat pasif. Namun penekanan yang diberikan di dalam ayat ialah subjek ayat itu sahaja.

          Dalam masa yang sama, dari segi kepanjangan ayat serta kependekan sesuatu ayat turut dapat memperlihatkan ciri linguistik yang dapat membezakan laras laras dalam bahasa Melayu.

B.JENIS-JENIS LARAS BAHASA.

Laras bahasa biasa

            Laras bahasa biasa ialah laras bahasa yang tidak melibatkan bidang tertentu. Ciri-cirinya ialah tidak terdapat istilah teknikal, digunakan dalam perbualan harian dan kurang menggunkan kata pinjaman serta penggunaan kosa kata serta tatabahasa yang mudah difahami.

             Selain itu, laras ini juga terbahagi kepada dua bahagian, iaitu laras bahasa biasa formal dan laras bahasa biasa tidak formal.

            Laras biasa formal digunakan dalam aktiviti-aktiviti yang formal seperti majlis rasmi, surat rasmi dan sebagainya.


             Laras bahasa biasa yang kedua pula ialah laras bahasa biasa tidak formal. Dalam laras ini, terdapat banyak pengguguran yang dilakukan pada ayat-ayat yang diucapkan, sama ada pengguguran  subjek, prediket atau objek dan bahasa yang digunakan ialah bahasa basahan.



Laras bahasa sains

            Laras bahasa sains disampaikan secara formal dan objektif. Segala maklumat yang diberikan adalah fakta, berdasarkan kajian yang telah dibuat.


Laras bahasa ekonomi

          Laras bahasa ini menunjukkan kerapian susunan maklumat. Maklumat yang disampaikan adalah lebih jelas atau eksplisit bermaksud fakta yang diberikan adalah benar-benar berdasarkan bukti dalam bentuk data dan statistik. 



Laras bahasa undang-undang


         Laras ini melibatkan perundangan. Dalam laras ini juga, teks perundangan mengandungi prinsip undang-undang dan biasanya berbentuk akta yang terbahagi kepada beberapa seksyen dan bahagian.




 Laras bahasa agama

         Ciri-ciri umum yang terdapat dalam laras agama ialah mengandungi istilah agama daripada bahasa Arab. Selain itu, struktur ayatnya juga banyak dipengaruhi oleh bahasa Arab.

         Penggunaan kias ibarat kerap digunakan, topik yang dibincangkan dengan menggunakan laras ini adalah berkaitan dengan agama termasuklah akidah, fiqah dan kisah-kisah Nabi.


Laras bahasa sukan

       Laras bahasa sukan disampaikan secara bersahaja tetapi jelas. Selain menggunakan kata-kata umum yang mudah difahami, pasti diselitkan kosa kata berkaitan dengan sukan atau bidang sukan.

 Laras bahasa sastera(kreatif)

         Laras bahasa kreatif menggunakan bahasa yang menarik dan kreatif sama ada dalm bentuk naratif, deskriptif, preskriptasi, dramatic dan puitis.

         Ciri-ciri bagi laras ini adalah menggunakan bahasa yang tersirat melalui perlambangan dan penyimpangan tatabahasa atau manipulasi. Selain itu, menggunakan kekreatifan dan imaginatif dan mementingkan penyusunan, pengulangan dan pemilihan kata. Bersifat puitis dan hidup.  


Laras bahasa perniagaan/iklan

      Laras ini digunakan dalam iklan, tender, sistem akaun, laporan saham dan sebagainya. Kebanyakan laras ini menggunakan iklan untuk menarik minat orang ramai.

    Bahasa iklan merupakan bahasa pengaruhan dan bertujuan membentuk tanggapan pengguna agar mereka akan membeli barangan yang dijual dengan mereka. Retorik yang digunakan dalam iklan ialah retorik pemujukan.

         Penggunaan banyak kata adjektif dalam iklan dan semua ayat ringkas dan pendek. Selain itu, penggunaan bahasa yang kreatif dan imaginatif. Iklan juga mementingkan penyusunan dan pemilihan kata tetapi tidak mementingkan tatabahasa.

 Laras bahasa akademik

      Laras bahasa ini digunakan dalam bidang ilmiah seperti matematik, geografi, sejarah, politik, pengajian am dan sebagainya.

      Selain itu, laras ini memaparkan ciri-ciri kematangan dan keintelektualan dan menggunakan perkataan yang tepat disebabkan tiada penggunaan perlambangan dan bunga-bunga bahasa. Selanjutnya, laras ini bersifat formal dan objektif.


          Dalam masa yang sama, laras ini juga mempunyai ciri seperti sukar difahami oleh orang biasa ataupun bukan bidangnya dan gemar menggunakan pandangan orang ketiga. Dalam masa yang sama, laras ini juga mengutamakan pemaparan, penghuraian dan perbincangan termasuk nota kaki, nota hujungan dan bibliografi.

Laras bahasa media massa

         Laras ini digunakan dalam penulisan berita ataupun rencana mengenai isu-isu semasa. Rencana ialah karangan mengenai ulasan tentang sesuatu isu semasa dan ciri yang paling penting dalam rencana ini ialah penggunaan kosa kata yang mudah difahami dan terdapat pelbagai idea dalam huraian.

           Manakala, berita pula ialah karangan yang memberi maklumat mengenai sesuatu isu semasa yang dapat menarik perhatian orang ramai. Dalam berita, bentuknya adalah ringkas tetapi kandungan beritanya adalah maksimum dan tidak menitikberatkan gaya serta nahu. Selanjutnya, berita mempunyai ciri yang mudah difahami dan isi-isi penting di dahulukan.

 Laras bahasa baku

          Laras bahasa baku digunakan dalam situasi rasmi, iaitu di tempat-tempat rasmi seperti di bilik darjah, parlimen, studio berita, upcara majlis dan sebagainya.

          Selain itu, bahasa ini tidak mempunyai penutur yang asli, bermaksud tidak ada penutur yang menggunakan laras bahasa baku sebagai bahasa ibunda untuk berhubung dengan ahli keluarga atau rakan-rakan mereka.

            Dalam masa yans sama, laras ini mempunyai cirri-ciri seperti penggunaan perkataan yang tepat dan lengkap dan pemilihan kata yang sesuai, di samping menggunakan sebutan yang betul mengikut ejaan.