5/21/12

Perkaitan FPK dengan matlamat Dokumen Kurikulum Standard Sekolah Rendah 2010




PERKAITAN FPK DENGAN SUKATAN

FPK

SUKATAN KSSR
Memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketerampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi,
memperoleh ilmu, perhubungan sosial dan urusan seharian.


Merujuk jadual di atas, didapati matlamat Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah 2003 mempunyai matlamat yang sama dengan Dokumen Standard Sekolah Rendah 2010 kerana Dokumen Kurikulum Standard Sekolah Rendah 2010 dibentuk adalah hasil penambahbaikan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah 2003. Perbezaannya hanyalah melibatkan cara atau usaha yang diambil untuk memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Bagi Dokumen Standard Sekolah Rendah 2010, penekanan terhadap Fokus Kurikulum dititikberatkan yang mana usaha untuk memenuhi matlamat FPK ini dicapai melalui pemantapan sistem pendidikan dengan  pelaksanaan transformasi kurikulum di peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah. Hal ini bermakna penekanan dalam mengembangkan potensi individu telah dibuat secara berperingkat sejak mereka berada di bangku sekolah lagi.

Bagi prasekolah, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sahsiah, persediaan ke sekolah rendah serta pendedahan kemahiran 3M dan menaakul amat dititikberatkan. Begitu juga pada peringkat sekolah rendah yang dibahagikan kepada pecahan, iaitu Tahap 1 dan Tahap 2. Pada Tahap 1 dari tahun satu hingga tahun tiga, penekanan terhadap kemahiran 3M dan penambahan dalam kemahiran menaakul, kemahiran asas Teknologi Maklumat dan Komunikasi, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai. Manakala, bagi Tahap 2 dari tahun empat hingga tahun enam pula, penekanan terhadap pengukuhan dan aplikasi 3M dan menaakul, kemahiran asas TMK, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai. Hal ini jelas menunjukkan bahawa dalam Dokumen Kurikulum Standard Sekolah Rendah 2010, para murid sejak kecil lagi telah diserapkan dengan pelbagai unsur, ilmu, nilai, kemahiran dan sebagainya yang mana mampu untuk mengembangkan potensi individu secara menyeluruh pada suatu tahap tertentu. 

Dalam Dokumen Standard Sekolah Rendah lagi, terdapat tiga elemen nilai tambah telah diperkenalkan dalam KSSR iaitu kreatif dan inovasi, keusahawanan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang mana kemahiran ini bertujuan untuk memenuhi keperluan murid dalam membangunkan modal insan yang menyeluruh dan bersepadu bersesuaian untuk memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa Dokumen Standard Sekolah Rendah 2010 amat mementingkan kreativiti dan inovasi, keusahawanan dan TMK yang mana elemen-elemen ini diterapkan untuk mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi menyelaraskan perkembangan murid-murid dengan perkembangan teknologi dan dunia pada masa kini.

Kerajaan turut menerapkan elemen TMK agar murid-murid mampu untuk mengikuti perubahan arus teknologi dunia yang kian berkembang dengan pesatnya. Hal ini selaras dengan matlamat FPK yang mana ingin melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu dan mampu memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara suatu masa nanti. Bagi elemen keusahawanan pula, KSSR menerapkan elemen keusahawanan untuk menyediakan para murid bagi bersaing dalam aktiviti keusahawanan yang mana sememangnya sudah diketahui umum bahawa untuk mendapatkan kerja, kebanyakan graduan Universiti terpaksa berasing dengan sengit. Maka, kerajaan telah menyisipkan elemen ini supaya murid-murid apabila dewasa kelak mampu hidup berdikari dan bersaing secara sihat untuk mendapatkan rezeki, sekali gus dapat mengembangkan potensi dan menjadi insan yang sentiasa mencapai kesejahteraan selaras dengan matlamat FPK.

Selanjutnya, bagi elemen kreativiti dan inovasi pula, murid diterapkan dengan nilai-nilai kreativiti yang mana melalui pendedahan dengan kemahiran kreativiti dan inovasi, murid dapat mengembangkan potensi diri untuk mencuba malah membuat sesuatu yang baharu. Perkara ini dapat memberi sumbangan kepada negara pada suatu masa kelak sekiranya para murid terus mengamalkan kemahiran ini sehinggalah mereka dewasa selaras dengan matlamat FPK yang ingin membentuk rakyat Malaysia yang mampu memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan juga negara.

Dalam masa yang sama, perkaitan matlamat FPK dengan Dokumen Standard Sekolah Rendah 2010 yang jelas turut dapat dilihat melalui bentuk kurikulum transformasi yang diperkenalkan dalam KSSR. Perkara ini memberi penekanan kepada enam aspek dalam pembentukan insan yang seimbang turut selaras dengan matlamat FPK untuk membentuk insan yang seimbang. Aspek yang pertama ialah komunikasi yang mana penggabungjalinan kemahiran bahasa secara dan bukan lisan semasa berinteraksi. Seterusnya, bagi aspek kedua pula meliputi aspek kerohanian, sikap dan nilai yang mana penekanan diberikan pada penghayatan agama, kepercayaan, sikap dan nilai. Selanjutnya, aspek kemanusiaan yang menekankan akan penguasaan ilmu dan amalan tentang masyarakat dan alam sekitar setempat, negara dan global. Penghayatan semangat patriotisme dan perpaduan turut dititikberatkan dalam aspek kemanusiaan ini bagi membentuk rakyat Malaysia yang bertanggungjawab akan keamanan negaranya.

Tambahan lagi, aspek keterampilan diri turut diberi penekanan yang mana melalui aspek ini, pemupukan kepimpinan dan sahsiah diri melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Hal ini menjamin pembentukan insan yang seimbang dari aspek jasmani kerana penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum dapat membentuk insan yang bertanggungjawab kerana di dalam aktiviti kokurikulum, pemupukan kepimpinan dan sahsiah amat dititikberatkan yang mana seseorang individu itu akan terlatih untuk bertanggungjawab ke atas tanggungan atau tugasan yang diberikan kepadanya. Begitu juga dengan aspek pembentukan insan seimbang yang selaras dengan matlamat FPK. Seterusnya ialah perkembangan fizikal dan estetika. Aspek ini juga melibatkan pembentukan insan yang seimbang dari aspek jasmani kerana perkembangan jasmani dan kesihatan diri amatlah dititikberatkan dalam aspek perkembangan fizikal dan estetika ini. Pemupukan daya imaginasi, kreativiti, bakat dan apresiasi menggalakkan lagi pembentukan individu yang seimbang dan mengembangkan lagi potensi diri individu secara menyeluruh dan bersepadu.

Aspek yang terakhir yang diambil kira dalam pembentukan insan yang seimbang dalam Dokumen Standard Sekolah Rendah 2010 adalah melibatkan aspek sains dan teknologi. Dalam aspek ini, penekanan terhadap pengetahuan sains, kemahiran dan sikap saintifik dititikberatkan. Penguasaan pengetahuan dan kemahiran matematik turut ditekankan selaras dengan matlamat FPK yang mana kecergasan pelbagai murid seperti logik matematik diutamakan bagi mengembangkan potensi diri individu dalam pelbagai bidang mengikut kecerdasan pelbagai yang mereka miliki. Penguasaan pengetahuan dan kemahiran berasaskan teknologi turut diberi keutamaan kerana melalui penguasaan teknologi, murid-murid tidak akan ketinggalan dengan arus perubahan dunia yang kian berkembang maju.