7/8/11

Sejarah Perkembangan Tulisan Jawi

     Perkembangan tulisan Jawi dipercayai tersebar di Tanah Melayu sejak kedatangan pendakwah dan pedagangan yang beragama Islam ke Tanah Melayu. Kedatangan pendakwah dan pedagang yang beragama Islam ini telah membawa bersama agama baharu kepada Zaman Kesultanan  Melayu.

     Agama ini telah menarik perhatian dan keinginan sultan Melayu untuk memeluk agama tersebut kerana sifat yang ditunjukkan oleh golongan tersebut adalah bersopan santun dan baik hati. 
  
       Pembaharuan yang dibawa oleh golongan pedagang dan pendakwah ini, secara langsung telah membawa sistem tulisan yang baharu yang digunakan unyuk memperdalamkan lagi ilmu keagamaan mereka. Melalui pengislaman sultan Melayu pada zaman tersebut telah mempercepatkan lagi proses perkembangan sistem tulisan Jawi di Tanah Melayu kerana rakyat jelata akan turut memeluk agama yang dianuti oleh sultan mereka untuk menunjukkan kesetiaan mereka kepada pemerintah.

      Abjad tulisan Arab telah  menjadi induk ataupun  pangkal kepada tulisan Jawi Melayu dan abjadnya. Tulisan Jawi dipercayai adalah salah satu daripada “warisan  Dunia Melayu”  yang bersejarah kerana kehadiran tulisan Jawi ke rantau telah menjadi  tanda utama  yang menunjukkan pemisahan Zaman Gelap yang menyelubungi bangsa Melayu ke Zaman Pembaharuan(reformation) sama ada daripada aspek keagamaan mahupun daripada aspek kebudayaan.

     Sebagai contoh, buku sejarah yang bertajuk “Tamadun Islam” hasil karya Ustaz Rumaizuddin. Di dalam buku tersebut, penulis mempercayai bahawa tulisan Jawi mula tersebar di dalam masyarakat  Arab Jahiliah setelah turunnya wahyu Al- Quranul Karim dari Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad s.a.w. Dalam wahyu tersebut, penulisan tulisan bahasa Arab telah digunakan untuk pertama kalinya.

     Pada awalnya, masyarakat Arab Jahiliah tidak mempunyai sebarang peralatan untuk menulis menyebabkan sistem tulisan tidak berkembang. Mereka lebih cenderung menggunakan akal dan ingatan untuk menghafaz dan menghafal ayat- ayat yang terdapat di dalam Al-Quran.

       Apabila ekonomi dan politik masyarakat Arab telah membangun, segala kelengkapan untuk menulis telah diperolehi dan menyebabkan sistem tulisan mula diperkenalkan. Para pemimpin ataupun khalifah bertindak untuk menghantar mashaf-mashaf Al-Quran dalam bentuk buku ke seluruh pelusuk negara Islam sebagai salah satu teknik untuk mengembang dan menyebarkan sistem tulisan Jawi tersebut.

     Dalam masa yang sama, ajaran Al-Quran juga telah menjadi titik tolak berkembangnya tulisan Jawi dan telah digunakan sebagai bahasa perantaraan sesama mereka. Perleluasan tanah jajahan dan perdagangan masyarakat  Arab mula tersebar di  dunia termasuk Tanah Melayu,  bermula sejak pembangunan politik dan ekonomi negara tersebut.

Hubungan diplomatik antara pedagang Melayu dan pedagang asing Tanah Arab yang terjalin menyebabkan pedagang-pedagang daripada tanah Arab mengeksport barang-barang dagangan mereka ke pelabuhan Tanah Melayu. Secara tidak langsung ajaran agama Islam itu telah tersebar disebabkan terdapat perhubungan persahabatan di antara kalangan pedagang Arab. Sebagai contoh, perkahwinan anak gadis pedagang daripada Tanah Melayu itu sendiri.

     Selain itu, terdapat ramai anak daripada golongan pembesar dan bangsawan yang berkahwin dengan pedagang- pedagang Arab. Bermula pada masa itu, ajaran agama Islam yang berpandukan Al-Quran giat disebarkan kepada masyarakat Melayu.

     Secara tidak langsung, anak-anak muda Melayu dapat mempelajari tulisan Jawi sepertimana yang terdapat di dalam ayat-ayat Al-Quran. Setelah agama Islam menjadi agama pegangan orang Melayu, hubungan itu menjadi semakin erat dan orang Arab yang datang bermukim di Alam Melayu bertambah ramai.

      Demikian juga orang Melayu yang pergi menahun di Tanah Arab kerana kebanyakan mereka pergi untuk mengaji agama(Hamdan 1999: 1). Tulisan Melayu Arab atau sekarang ini dikenali sebagai tulisan Jawi telah digunakan sejak kedatangan agama Islam. Disebabkan itu, wujudnya satu tulisan jawi dalam bahasa Melayu yang dijadikan sebagai tulisan perantaraan masyarakat Melayu.

         Bermula pada abad ke 14 Masihi, iaitu sebelum tulisan melayu, tulisan jawi telah lama wujud dan dijadikan sebagai tulisan rasmi masyarakat Melayu.

            Selanjutnya, Kang Keong Seoek pula dalam karangannya mengatakan bahawa sejarah Melayu bermula dengan tulisan Jawi, serentak dengan kelahiran kerajaan-kerajaan Islam silam.

       Pendeta Za’ba merupakan salah satu ikon yang bertugas untuk memberi nafas baharu kepada sistem tulisan Jawi. Beliau telah mengumpulkan perkataan Melayu sejak tahun 1918 bagi tujuan menyusun sebuah kamus besar. Hasilnya pada 1931, Za’ba menulis buku ”Rahsia Tulisan Jawi” untuk warisan masyarakat Melayu. Hal ini membuktikan bahawa beliau berjaya meniup semangat tulisan Jawi dari semasa ke semasa. Akhirnya sebuah buku ”Daftar Ejaan Jawi-Rumi” dapat disusun hasil daripada  perbincangan dengan beberapa rakan-rakannya.


        Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, iaitu Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, tulisan atau skrip Jawi sudah sekian lama berperanan sebagai skrip pentadbiran, keagamaan dan budaya sejak berzaman, khususnya pada Zaman Kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka pada awal abad ke-15.

    Terdapat beberapa peninggalan prasasti dan bahan arkeologi seperti artifak yang membuktikan kewujudan tulisan jawi di Tanah Melayu seperti penemuan  Batu Bersurat Terengganu yang dijumpai di Sungai Tersat, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

      Tambahan lagi, peranan tulisan Jawi turut berkembang melalui sejarah tanah air dan Kepulauan Melayu(Nusantara) serta berperanan penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan. Perjanjian penting di antara Raja Melayu dengan pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris kesemuanya tertulis dalam skrip Jawi seperti perjanjian antara Sir Stamford Raffles dengan pihak di Raja Johor, Perjanjian Pangkor 1874 dan Pengisytiharan Merdeka 1957, juga tertulis dalam skrip Jawi.

      Namun, selepas kedatangan orang-orang Eropah ke Tanah Melayu, tulisan Jawi mula digunakan seiring dengan tulisan Rumi. Kemudian, terdapat juga  usaha gigih yang ditunjukkan oleh ahli-ahli bahasa untuk mengetepikan tulisan Jawi dan sekaligus menjadikan tulisan Rumi sebagai tulisan rasmi negara.

         Semenjak masa itu, tulisan Jawi mula tergugat kedudukannya sebagai tulisan utama bagi seluruh Kepulauan Melayu terutama Tanah Melayu. Lebih-lebih lagi, setelah pengisytiharan “Akta Bahasa Kebangsaan” pada tahun 1963.

       Sungguhpun itu, akta tersebut tidak melarang secara langsung penggunaan tulisan Jawi, tetapi kesannya amat besar terhadap penggunaan tulisan Jawi dan perkembangannya dari aspek praktis orang-orang Melayu.  Orang Melayu mula meninggalkan tulisan Jawi sehingga pengguna tulisan Jawi semakin berkurangan hinggalah tahun 1984.

         Manakala, pada tahun 1985 pula, Kementerian Pelajaran Malaysia pada masa itu telah menyedari kepentingan warisan “Dunia Melayu”, lalu pihak berkenaan mula mewajibkan pelajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah rendah agama. Selepas itu, tulisan Jawi mulai diberi perhatian semula oleh masyarakat Melayu, terutamanya oleh ahli-ahli  bahasa dan persuratan Melayu.