7/8/11

Takrif Bahasa

Ahli bahasa dan ahli linguistik  telah mencuba untuk mentakrifkan bahasa daripada beberapa aspek. Antara takrifan yang telah diperoleh adalah  bahasa diertikan sebagai satu sistem bunyi yang terdiri daripada lambang-lambang yang diujar oleh manusia dengan menggunakan alat-alat artikulasi yang ada pada manusia. Selain itu, lambang-lambang yang diujarkan oleh manusia mempunyai makna-makna tertentu berdasarkan lingkungan masyarakat yang menuturkannya.

Untuk memenuhi pelbagai tujuan dan matlamat tertentu, bahasa memainkan peranan dan fungsi yang amat penting. Antaranya adalah fungsi bahasa, bertujuan membantu manusia menyampaikan buah fikiran, percakapan dan maklumat kepada orang lain.

Walau bagaimanapun, bahasa manusia merupakan erti utama yang dikaitkan dengan “bahasa”. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat 2005, bahasa  diertikan sebagai satu sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia.Selain itu, bahasa juga merupakan  percakapan yang benar, tingkah laku yang baik  dan sopan santun.

Menurut ahli bahasa, iaitu Wilhelm Von Humboldt yang merupakan seorang sarjana berbangsa Jerman pula telah mentakrifkan bahasa sebagai satu sintesis daripada bunyi yang dibentuk daripada lautform (bentuk luaran) dan fikiran yang dibentuk  oleh idenform (bentuk dalaman). Dalam takrif ini pelbagai-bagai ujaran yang tidak terbatas jumlahnya dapat diterbitkan.

Selanjutnya, seorang lagi ahli sarjana linguistik dari Swiss pada awal abad ke-20-an, iaitu Ferdinand de Saussure telah mengatakan bahawa bahasa merupakan satu sistem isyarat yang mempunyai bahagian terpenting yang merupakan gabungan daripada erti dengan bayangan bunyi dan kedua-duanya adalah bersifat psikologi. Tambahannya lagi, erti dan bunyi itu tidaklah tergabung dalam satu rantai ucapan  menurut hukum-hukum tatabahasa.

Seterusnya, seorang lagi ahli sarjana linguistik yang berasal dari Amerika pada abad ke-20, iaitu Charles F. Hockett. Beliau melihat  bahasa dari sudut psikologi behaviurisme. Menurut beliau, bahasa adalah satu sistem tabiat-tabiat yang sangat rumit. Manakala, seorang lagi pengkaji bahasa Amerika, iaitu John B. Carol pula melihat bahasa dari sudut linguistik. Menurut beliau, bahasa merupakan satu sistem berstruktur daripada bunyi-bunyi vokal dan urutan bunyi-bunyi yang dipakai sewenang-wenangnya atau digunakan untuk berkomunikasi oleh sekumpulan  manusia.

Dalam masa yang sama, menurut Edward Sapir pula(1921), beliau menyatakan bahawa bahasa merupakan bahasa yang selalu digunakan oleh manusia dan merupakan kaedah yang digunakan untuk menyampaikan idea, perasaan serta keinginan melalui bunyi-bunyi bahasa yang dituturkan.

Tambahan lagi, menurut Michael Halliday(1973) menyatakan bahasa ialah satu urutan kemungkinan dan pilihan tingkah laku yang bersesuaian dengan individu  sebagai manusia  yang bersosialisasi.

Menurut  Chomsky(1957) pula, bahasa mempunyai dua perkara penting yang perlu dititikberatkan, iaitu pendengar dan penutur. Hal ini merujuk kepada kecekapan bahasa dan pengucapan bahasa. Kecekapan bahasa yang berada di dalam otak manusia serta didefinisikan sebagai satu sistem rumus bahasa yang mampu menghasilkan kalimat yang tidak terbatas. Melalui pengucapan bahasa pula, penghasilkan ayat-ayat yang didengar oleh pendengar melalui telinga  dan diproses dalam minda ataupun sistem saraf pusat akan berlaku. Dalam proses komunikasi ini, penutur dan pendengar saling bertukar bertukar pendapat.

Walaupun, definisi atau takrifan bahasa yang diberikan oleh setiap individu  adalah berbeza tetapi mereka tetap bersetuju bahawa bahasa merupakan satu lambang atau sistem lambang pertuturan yang arbitrari atau sewenang-wenangnya yang digunakan oleh angota masyarakat untuk berhubung. Pendapat ini adalah pendapat Bloch dan Trager yang merupakan ahli bahasa.

Namun pendapat-pendapat ahli-ahli bahasa yang telah tersenarai dapat diperjelaskan dan diperkukuhkan lagi oleh ahli-ahli psikolinguistik moden yang mendefinisikan bahasa sebagai satu sistem kognitif,  manusia yang unik yang dapat dimanipulasikan  oleh manusia untuk menghasilkan sejumlah kalimat yang tidak terbatas berdasarkan unsur-unsur yang terbatas  untuk dipakai oleh manusia itu sebagai alat berkomunikasi dan mengumpul ilmu pengetahuan. (Mangantar Simajuntak  1982).

Istilah bahasa dalam bahasa Melayu adalah sama dengan taal dalam bahasa Belanda, langue dalam bahasa Perancis, language dalam bahasa Inggeris, sprache dalam bahasa Jerman, kokugo dalam bahasa Jepun, lughatun dalam bahasa Arab dan bhasa dalam bahasa Sanskrit.

  Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga pula mengatakan bahawa bahasa didefinisikan sebagai lambang-lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan kelompok manusia (antara individu dengan individu yang lain) dan percakapan yang baik dan sopan santun.